SIP BANTU PEKERJA
Elaun RM600 selama tiga bulan jika hilang kerja, dilaksana awal tahun depan
KOTA KINABALU: Seramai 935 ribu pekerja di Sabah yang berdaftar dengan Perkeso layak menerima faedah interim berbentuk elaun tunai berjumlah RM600 sebulan di bawah Skim Sistem Insuran Pekerjaan (SIP), sekiranya mereka kehilangan pekerjaan kelak.
Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sabah Dr Mohd Ali Hindia berkata, skim yang dilaksanakan bermula awal tahun depan itu akan diberikan kepada pencarum bagi tempoh maksimum tiga bulan.
“Perkeso menerima RM122 juta daripada kerajaan bagi melaksanakan SIP, manakala RM103 juta akan dinikmati oleh 57,282 individu yang layak menuntut faedah ini di seluruh Malaysia.
“Di Sabah, kita tidak meletakkan jangkaan berapa ramai terlibat, tapi seiring dengan dana yang diperuntukkan, kita bersedia dari semasa ke semasa membantu pekerja yang kehilangan pekerjaan,” katanya ketika ditemui semasa taklimat mengenai SIP, di sini pada Isnin.
Pada masa sama, Ali berkata SIP yang akan dilaksanakan bermula Jan tahun depan adalah satu jaringan keselamatan sosial bagi memberi pelindungan kepada pekerja yang kehilangan pekerjaan dengan memberi bantuan kewangan selepas tujuh hari pengesahan hilang kerja.
Selain itu katanya, pencarum juga diberikan bantuan mendapatkan pekerjaan baharu selain meningkatkan kebolehpekerjaan mereka melalui program latihan dan latihan vokasional.
Sementara itu, Pegawai Tadbir SIP Perkeso Malaysia Mohd Arif Aziz berkata skim SIP bukanlah benda baharu tetapi sudah dilaksanakan oleh lebih 78 negara seperti Thailand, Vietnam dan Jepun.
Katanya, kadar caruman yang dikenakan di negara ini juga adalah terendah di dunia iaitu hanya 0.4 peratus (0.2 peratus majikan dan 0.2 peratus daripada gaji bulanan pekerja).
Terdahulu, Lebih 350 peserta terdiri daripada pemilik perniagaan, pekerja, kesatuan pekerja dan ahli persatuan majikan menyertai taklimat berkaitan SIP yang julung kali diadakan di negeri ini.