Bilangan warga emas di negara ini sentiasa meningkat, kata Rohani
SEBUYAU: Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2000 yang dijalankan oleh Jabatan Perangkaan mendapati terdapat seramai 1.4 juta orang warga emas yang berumur 60 tahun dan ke atas atau 6.1 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu 23.5 juta orang.
Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia terkini yang dijalankan pada 2010 pula menunjukkan bahawa warga emas merupakan 2.3 juta orang atau 7.9 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk iaitu 28.3 juta orang, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Menurutnya, bagi Sarawak, peratusan penduduk warga emas adalah antara yang tertinggi, iaitu 9.5 peratus berbanding negeri-negeri lain.
“Bilangan penduduk warga emas di negeri Sarawak adalah seramai 247,600 orang berdasarkan bancian penduduk daripada Jabatan Perangkaan Malaysia Sarawak bagi tahun 2014,” ujarnya ketika berucap semasa merasmikan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) Sebuyau bagi kawasan Parlimen Batang Lupar di Sebuyau dekat sini.
Sementara itu, beliau berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengunjurkan bahawa Malaysia akan menjadi sebuah negara tua (aged nation) pada 2030 apabila penduduk berumur 60 tahun dan ke atas akan mencapai 15 peratus daripada jumlah keseluruhan penduduk.
“Pada ketika itu, penduduk negara akan mencapai 35.3 juta orang, yang mana 5.3 juta orang merupakan warga emas. Justeru, Malaysia akan menjadi sebuah negara menua (ageing nation) menjelang Rancangan Malaysia Ke-14,” katanya.
Sehubungan itu, Malaysia perlu bersiap sedia mulai sekarang untuk menghadapi fenomena penuaan penduduk di negara ini.