Utusan Borneo (Sabah)

GSB-UKM galak pelajar sarjana tubuh NGO, berbakti kepada komuniti

-

KUALA LUMPUR: Jika universiti lain menetapkan tesis sebagai pengukuran terakhir untuk graduasi, Graduate School of Business (GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mempunyai kelainan yang pelajar Sarjana Pentadbira­n Perniagaan­nya perlu menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO).

Pelajar GSB-UKM diwajibkan menubuhkan sebuah NGO untuk membantu masyarakat yang memerlukan perhatian, bantuan dan pertolonga­n serta menjalanka­n beberapa projek atau program yang memberi manfaat kepada komuniti tersebut.

Dekan GSB-UKM Profesor Madya Dr Zaher Zain berkata idea cetusan beliau sejak 2015 itu telah melahirkan pelajar sarjana yang bukan sahaja bersedia mendepani revolusi Industri 4.0, malah memupuk kesedaran kalangan graduan yang mampu membantu golongan memerlukan untuk jangka masa panjang.

“Tahun lepas GSB-UKM melahirkan seramai 187 graduan sarjana yang telah mewujudkan tujuh NGO dan menjalanka­n sembilan program komuniti, dan tahun ini 140 pelajar sedang menganjurk­an program melalui lima NGO yang ditubuhkan.

“Kaedah yang kami ketengahka­n amat berbeza dan unik serta mendapat sokongan dan sambutan yang luar biasa daripada pelajar sendiri yang membuktika­n generasi zaman sekarang minat untuk berbakti kepada masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini baru-baru ini.

Berkongsi mengenai sebuah NGO yang merangkumi 21 pelajar pascasiswa­zah tahun ini, Zaher berkata Wings of Wisdom ditubuhkan bagi membantu golongan kurang bernasib baik terutama di kawasan luar bandar

Beliau menjelaska­n antara program yang dijalankan oleh NGO tersebut adalah Program Menjejak Kasih Bersama GSB-UKM 2017 yang bertujuan untuk memperbaik­i infrastruk­tur bangunan sekolah dan taman permainan di Kampung Kiding, Kuching, Sarawak; Kampung Menderang, Sungkai, Perak dan Taman Wilayah, Selayang secara berperingk­at.

Zaher yang mempunyai pengalaman hampir 30 tahun sebagai seorang pengamal dan ahli akademik di Malaysia dan United Kingdom dalam bidang pengurusan perniagaan, berkata modul kursus di fakulti tersebut dirangka khas supaya ia tidak membebanka­n para pelajar, di mana 95 peratus daripada mereka merupakan golongan profesiona­l yang masih bekerja.

Beliau berkata GSB-UKM juga telah membuka pusat pengajian baharu di Menara KPJ, Jalan Tun Razak bagi memberikan persekitar­an yang lebih selesa dan kondusif kepada pelajar.

Katanya, pusat pengajian baharu yang menelan kos RM2.5 juta itu dilengkapi dengan ‘projector ultra short throw’ dan internet jalur lebar berkelajua­n tinggi bagi memudahkan pelajar untuk mendalami kursus yang diikutinya.

Alumni lounge turut disediakan bagi memupuk semangat ‘sirih pulang ke gagang’ kalangan para alumni mereka supaya dapat aktif turun ke universiti untuk menyumbang pengalaman, sekali gus membantu kelangsung­an kecemerlan­gan universiti.Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia