PRU14: Penduduk Parlimen Mukah inginkan muka baharu
MUKAH: Penduduk Mukah ternyata menginginkan muka baharu pada pemilihan calon wakil rakyat di konstitusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.
Penganalisis Politik dan Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Dr Jeniri Amir berkata sudah tiba masanya muka baharu dicalonkan untuk mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Mukah pada PRU14.
“Penduduk Mukah mahu wakil rakyat baharu lebih dinamik, sentiasa turun padang dan dapat menyuarakan keperluan masyarakat serta berbahas dan mengemukakan pandangan bernas di dewan rakyat,” katanya kepada Utusan Borneo di sini semalam.
Menurutnya, merujuk kepada penyandang Parlimen Mukah sekarang beliau telah berkhidmat cukup lama iaitu sekitar 35 tahun.
Katanya, sama ada calon terdiri daripada Islam atau bukan Islam ia mestilah anak tempatan, lahir dan pandai bertutur dalam bahasa Melanau.
“Sehingga kini terdapat sekurang-kurangnya 10 calon berpotensi telah diuaruarkan.
“Calon harus punya kelayakan tinggi, memahami aspirasi rakyat, mampu membawa pembangunan serta mengambil kira kepentingan kaum lain di Mukah,” jelasnya.
Mengikut Jabatan Perangkaan dan Statistik Negeri Sarawak 2010, Mukah mempunyai pecahan etnik didiami majoriti Melanau iaitu 18,241 diikuti Cina (3,655), etnik Bumiputera lain (1,418), India 52 dan lain-lain 99 orang.
Mengulas lebih lanjut, beliau turut memberitahu bahawa calon bakal terpilih adalah berdasarkan kesemua calon berpotensi berkenaan.
“Hakikatnya tidak susah mencari calon berkelayakan dan berkelulusan tinggi tetapi sesiapa pun terpilih harus akur dengan keputusan itu,” tambah beliau.
Katanya calon terpilih dan diperkenankan oleh pucuk pimpinan parti turut memperolehi kemenangan dengan majoriti besar seperti Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.