Utusan Borneo (Sabah)

Presiden Korea Selatan mulakan lawatan pulih hubungan ke China

-

BEIJING: Presiden Korea Selatan Moon Jae-In memulakan lawatan rasmi pertamanya ke China semalam untuk memulihkan hubungan yang tegang disebabkan oleh penggunaan sistem antimisil Amerika Syarikat (AS) yang menimbulka­n kemarahan Beijing.

Moon juga dijangka membincang­kan krisis nuklear Korea Utara dalam lawatannya selama empat hari, termasuk rundingan dengan Presiden China Xi Jinping pada hari ini (Khamis).

Tentera AS memasang sistem Pertahanan Kawasan Altitud Tinggi Terminal (THAAD) yang berkuasa di Korea Selatan pada awal tahun ini untuk melindungi diri daripada ancaman negara senjata nuklear Korea Utara.

Tindakan itu menimbulka­n kemarahan Beijing, yang menganggap penggunaan sistem itu sebagai satu ancaman kepada keselamata­nnya sendiri.

China mengambil beberapa langkah ke atas perniagaan dari Korea Selatan dan melarang lawatan berkumpula­n ke Korea Selatan, yang dilihat sebagai tindak balas ekonomi.

Namun pada bulan lepas, kedua-dua negara mengeluark­an kenyataan dengan kata-kata sama mengenai keinginan masing-masing untuk memulihkan hubungan.

Ia tidak menyebut tentang sebarang perkara khusus tetapi Beijing menuntut agar Seoul secara rasmi berjanji untuk tidak menggunaka­n pelancar THAAD lagi dan tidak menyertai sebarang sistem pertahanan misil serantau AS.

Pejabat Moon berkata sebelum lawatan itu bahawa presiden itu, yang memegang kuasa pada Mei lalu, mahu “memulihkan” hubungan dengan Beijing, dan lawatan itu akan menjadi titik tolak bagi hubungan “lebih matang”.

Agensi berita Yonhap di Korea Selatan berkata Moon sudah tiba di Beijing, dan berjumpa dengan penduduk Korea Selatan selain menghadiri meja bulat perniagaan semalam.

Hubungan baru-baru ini menunjukka­n beberapa tanda pemulihan – yang terhad – apabila lembaga pelanconga­n kerajaan China meluluskan lawatan kumpulan ke Seoul pada bulan lepas dari beberapa bahagian di negara itu.

“China dan ROK (Korea Selatan) sudah mencapai kata sepakat berhubung isu THAAD pada peringkat sekarang,” kata jurucakap kementeria­n luar China, Lu Kang, kelmarin.

“Kami harap isu itu dapat terus ditangani dengan baik dan kedua-dua pihak dapat membawa balik sepenuhnya hubungan China-Korea Selatan ke landasan pembanguna­n yang sihat dan stabil,” ujar Lu.

China juga menggesa AS, Jepun dan Korea Selatan untuk menggantun­g latihan ketenteraa­n bersama di rantau itu sebagai balasan bagi Korea Utara untuk menghentik­an aktiviti nuklearnya – idea yang ditolak secara konsisten oleh Washington dan Seoul.

Beijing telah menuntut rundingan untuk menyelesai­kan krisis itu secara aman. — AFP

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia