Utusan Borneo (Sabah)

Empat sekeluarga maut dalam kebakaran di Tg Sepat dipercayai dibunuh

-

SHAH ALAM: Polis percaya empat sekeluarga yang ditemui rentung dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Tepi Laut, Tanjung Sepat, Sepang pada Rabu adalah mangsa bunuh.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC Fadzil Ahmat berkata ini berdasarka­n siasatan awal yang mendapati ada kesan tetakan pada tubuh tiga mangsa terbabit.

Polis menerima maklumat mengenai kebakaran itu pada 5.50 pagi dan pasukan bomba yang digegaskan ke lokasi kejadian berjaya memadamkan kebakaran kira-kira 7 pagi sebelum menemukan mayat empat mangsa dalam keadaan rentung, katanya dalam kenyataan di sini.

“Hasil siasatan awal bomba mendapati ada unsur khianat dalam kes ini,” katanya.

Beliau berkata mereka yang terkorban dikenali sebagai Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9 serta Chia Yuan Bin, 3.

Difahamkan, dalam kejadian itu seorang lagi cucu lelaki pasangan warga emas terbabit yang berusia 12 tahun terselamat dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

Bagaimanap­un Fadzil berkata punca sebenar kematian hanya boleh disahkan selepas bedah siasat dijalankan.

Terdahulu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Mohd Sani Harul berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 6.08 pagi dan tiga jentera berserta 15 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Sepang serta Lapangan Terbang Antarabang­sa Kuala Lumpur telah dikejarkan ke lokasi kejadian.

Beliau berkata kebakaran itu memusnahka­n sepenuhnya rumah tersebut.-Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia