Sarawak pertama guna hidrogen gerak LRT
Kos pembinaan belum dapat ditentukan kerana perlu banyak kajian dan perhatian
KUCHING:Sarawak akan muncul sebagai negeri pertama di Malaysia bahkan di rantau Asia Tenggara yang menggunakan hidrogen sebagai bahan bakar bagi menggerakkan Transit Aliran Ringan (LRT) yang bakal diwujudkan di bandar raya ini.
Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Datuk Amar Abdul Aziz Datuk Husain berkata, seperti yang diumumkan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Abang Openg, beliau mahu cadangan projek LRT itu meliputi bahagian Kuching, Samarahan dan Serian.
“Ketika ini, ia (projek LRT) masih lagi dalam peringkat kajian permulaan di mana aspek laluan untuk LRT yang menghubungkan dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian sedang dikaji. Kita menjangkakan kajian (permulaan) ini akan siap dalam tempoh dua bulan lagi.
“Selepas itu, baharulah kajian secara terperinci untuk menentukan harga, butiran trafik dan bagaimana ia akan dilaksanakan akan dibuat seperti yang dimahukan oleh Ketua Menteri kita.
“Dengan siapnya projek ini nanti, saya boleh katakan Sarawak bakal mencipta nama dalam sejarah kejuruteraan kereta api di Malaysia bahkan di rantau Asia Tenggara kerana menjadi negeri pertama yang menggunakan LRT berkuasa hidrogen,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditanyamediamengenaiperkembangan terkini cadangan projek LRT di Sarawak selepas merasmikan Majlis Belaian Kasih bersama warga Rumah Seri Kenangan (RSK) di sebuah hotel terkemuka di sini, pada Rabu.
Seramai 30 penghuni RSK diraikan pada majlis itu sempena perayaan Hari Krismas yang turut dihadiri Pengurus Besar SEDC Soedirman Aini.
Ditanya mengenai kos pembinaan LRT itu, Aziz berkata, ia belum lagi dapat ditentukan kerana masih banyak kajian perlu dilaksana dan diambil perhatian.
“Bagaimanapun, apa yang pasti projek LRT ini merupakan projek kerajaan negeri dan SEDC bertanggungjawab menjadi pemain utama dalam melaksanakan projek ini,” katanya.
Menurut beliau lagi, projek LRT itu akan dilengkapi dengan Perkhidmatan Bas Henti-Henti (BRT), teksi dan kereta persendirian selain menyediakan laluan khas untuk pengguna basikal serta pejalan kaki.
“Dalam jangka panjang, projek LRT berkuasakan hidrogen ini akan turut meliputi kawasan Bau, Lundu dan Sematan sejajar dengan usaha kita untuk memberi manfaat kepada penduduk tempatan dan sektor pelancongan di negeri ini,” katanya.
Terdahulu, dalam ucapannya pada majlis itu, Aziz berkata Majlis Belaian Kasih bersama penghuni RSK adalah insiatif yang dilaksanakan di bawah program tanggungjawab sosial korporat (CSR) SEDC.
“Majlis ini telah direalisaikan oleh SEDC sejak 2011 dan tahun ini merupakan tahun ketujuh kita meraikan penghuni RSK dalam majlis seumpama ini,” katanya.
Beliau harap penganjuran majlis itu dapat menambahkan kegembiraan dan keceriaan penghuni terbabit terutama ketika menyambut perayaan Krismas kelak.
Pada majis itu, Aziz turut menyampaikan sumbangan hadiah istimewa berupa barang keperluan asas kepada penghuni terbabit.
“Ketika ini, ia (projek LRT) masih lagi dalam peringkat kajian permulaan di mana aspek laluan untuk LRT yang menghubungkan dari bahagian Kuching, Samarahan dan Serian sedang dikaji. Kita menjangkakan kajian (permulaan) ini akan siap dalam ” tempoh dua bulan lagi. TAN SRI DATUK AMAR ABDUL AZIZ DATUK HUSAIN Pengerusi SEDC