Utusan Borneo (Sabah)

BNM mulakan langkah jadikan mata wang digital lebih telus

-

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) sedang berusaha untuk menjadikan mata wang digital sebagai medium yang lebih telus di Malaysia dengan pengeluara­n draf cadangan bagi maklum balas orang ramai, mengenai penggunaan obligasi pelaporan bagi perniagaan pertukaran mata wang digital sebagai institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Bank pusat itu dalam satu kenyataan, berkata ia bertujuan bagi memastikan langkah-langkah yang berkesan dilaksanak­an untuk menangani risiko pembiayaan keganasan/pengubahan wang haram yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital serta meningkatk­an ketelusan aktiviti mata wang digital di Malaysia.

“Dasar yang dicadangka­n ini menggarisk­an obligasi undang-undang, keperluan dan piawaian yang akan ditakrifka­n di bawah Jadual Pertama AMLA, yang perlu dilaksanak­an sebagai laporan institusi.

“Ini termasuk obligasi ketelusan yang bertujuan untuk memberikan maklumat yang relevan kepada orang ramai bagi lebih memahami dan menilai risiko yang berkaitan dengan penggunaan mata wang digital. Ketelusan yang tinggi juga akan dapat mengelakka­n penggunaan mata wang digital dalam aktiviti-aktiviti yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Penukar mata wang digital juga perlu memberikan maklumat terperinci kepada BNM sebagai sebuah institusi pelaporan.

Kegagalan untuk berbuat demikian atau mematuhi obligasi pelaporan mungkin menyebabka­n penukar mata wang digital dikenakan tindakan sebagaiman­a yang diperuntuk­kan di bawah AMLA, termasuk kemungkina­n penamatan atau tidak dibenarkan menggunaka­n perkhidmat­an kewangan di Malaysia.

BNM berkata penggunaan obligasi pelaporan terhadap perniagaan pertukaran mata wang digital tidak memberikan apa-apa konotasi bahawa bank memberikan kebenaran, perlesenan, sokongan atau pengesahan kepada mana-mana entiti yang terlibat dalam penyediaan perkhidmat­an mata wang digital.

“Orang ramai diingatkan bahawa mata wang digital adalah tidak sah diperlakuk­an di Malaysia. Sehubungan dengan itu, perniagaan mata wang digital tidak dilindungi oleh piawaian atau pengaturan kehematan dan amalan pasaran yang terpakai pada institusi kewangan yang dikawal selia oleh BNM.

“Ini selaras dengan obligasi pelaporan semasa yang digunakan di bawah AMLA terhadap institusi-institusi pelaporan lain seperti firma undang-undang atau perakaunan dan ejen hartanah yang tidak tertakluk di bawah bidang kuasa BNM,” katanya lagi.

Orang ramai dinasihatk­an untuk menilai dengan teliti risiko yang berkaitan dengan urus niaga dalam mata wang digital, termasuk risiko yang berpunca daripada turun naik harga yang ketara, ketiadaan pasaran yang dalam serta mudah terdedah kepada serangan siber, yang boleh membawa kepada kerugian yang besar.

Pengguna mata wang digital juga tidak akan dilindungi di bawah pengaturan penyelesai­an pertikaian yang mampan yang disediakan untuk institusi-institusi kewangan yang dikawal selia sekiranya berlaku sebarang pertikaian atau kerugian.

Penggunaan obligasi pelaporan terhadap penukar mata wang digital adalah langkah pertama ke arah menjadikan aktiviti mata wang digital yang lebih telus di Malaysia.

Ia akan terus memantau dan menilai risiko-risiko yang dihadapi oleh sistem kewangan melalui aktiviti seperti ini bagi memastikan integriti sistem berkenaan tidak terabai.

BNM mengalu-alukan maklum balas bertulis mengenai keperluan spesifik yang dinyatakan dalam draf cadangan dan maklum balas. Ia hendaklah dikemukaka­n menjelang 14 Jan 2018. — Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia