Utusan Borneo (Sabah)

Kes bunuh, bakar empat sekeluarga selesai, lelaki OKU ditahan

-

KUALA SELANGOR: Polis percaya kes bunuh dan bakar empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat, Rabu lepas, berjaya diselesaik­an dengan penahanan seorang lelaki orang kelainan upaya (OKU) di Taman Pusat Kepong, Kuala Lumpur awal pagi Jumaat.

Ketua Polis Selangor Datuk Mazlan Mansor berkata suspek berusia 38 tahun, yang merupakan OKU pekak dan bisu, ditahan di sebuah rumah kedai pada 1 pagi Jumaat.

Suspek direman selama seminggu bermula hari ini.

“Sepasukan polis dari Bahagian Jenayah Berat, Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor menyerbu rumah kedai itu berdasarka­n maklumat risikan bahawa suspek menetap di situ dan telah menerima rawatan di sebuah klinik swasta.

“Soal siasat awal dijalankan dan mendapati suspek yang tidak mempunyai rekod jenayah, mengaku terlibat dalam kes ini. Lelaki itu yang bekerja di sebuah kilang perabot di Kepong merupakan teman lelaki kepada anak perempuan bongsu mangsa berumur 30 tahun yang juga OKU pekak dan bisu,” katanya kepada pemberita.

Mazlan berkata demikian selepas menghadiri Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kuala Selangor di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Selangor di sini pada Jumaat.

Pada majlis itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor DSP Mohd Asri Abd Wahab dilantik sebagai pemangku Ketua Polis Daerah itu menggantik­an Supt Ruslan Abdullah yang bersara wajib.

Dalam kejadian 5.50 pagi itu, mangsa Chia Tee Nang, 73; isterinya Lim Mai Shak, 68, dan dua cucu lelaki mereka, Ryan Chia, 9, serta Chia Yuan Bin, 3, dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman mereka.

Kes diklasifik­asikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh.

Menurut Mazlan, berdasarka­n siasatan awal, motif kejadian disebabkan masalah kewangan seperti hutang dan berlaku pertelingk­ahan di rumah mangsa sebelum kejadian. -Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia