Utusan Borneo (Sabah)

Penjualan susu rumusan bayi tiruan dipantau

-

SIBU: Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK) melakukan pemantauan ke atas susu rumusan bayi tiruan walaupun tidak ada sebarang aduan mengenai pengedaran produk tersebut di Sarawak.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNKK Sarawak Abdul Hafiz Abdul Rahim berkata antara langkah diambil termasuk memeriksa premis menjual produk susu tepung di seluruh negeri ini.

“Setakat ini, belum ada aduan atau panggilan mana-mana pihak mengenai pengedaran produk susu tiruan itu di Sarawak.

“Bagaimanap­un, kami melakukan pemantauan dengan pemeriksaa­n ke premis-premis menjual produk susu bayi bagi memastikan mereka mendapat bekalan sah dan selamat,” katanya semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada terdapat produk susu bayi tiruan dikesan di negeri ini.

Menurut Abdul Hafiz, pihaknya juga mengumpul maklumat selain menjalinka­n kerjasama dengan pengilang dan pengedar produk itu agar produk dibawa masuk ke negeri ini selamat digunakan.

Sementara itu, BERNAMA melaporkan bahawa KPDNKK merampas 210 kotak susu bayi tiruan bernilai RM42,000 di Johor Bahru kelmarin.

Pengarahny­a Khairul Anwar Bachok berkata produk tersebut dirampas dari kedai ubat dan kedai serbaneka di lima lokasi berbeza di Johor Bahru.

“Rampasan itu dibuat susulan laporan mengenai bayi mengalami muntah teruk selepas mengambil produk susu itu kemudianny­a dikenal pasti sebagai produk tiruan,” kata Khairul Anwar.

Rabu lalu, sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris memetik Menteri Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an Datuk Seri Hamzah Zainuddin yang menyatakan bahawa Jabatan Kimia menerima sampel formula susu bayi tiruan untuk dianalisis.

Hamzah berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan analisis untuk mengetahui kandungan sebenar produk tersebut sebelum mengambil tindakan.

Beliau juga berkata pihaknya membincang­kan perkara itu lebih lanjut dengan Kementeria­n Kesihatan kerana mereka pihak berkuasa yang memberi kelulusan menjual susu bayi di pasaran.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia