PBB pertimbang langkah tolak polisi AS di Baitulmaqdis
PERTUBUHAN BANGSABANGSA BERSATU (PBB): Majlis Keselamatan PBB sedang menimbang draf ketetapan bagi mengesahkan sebarang perubahan kepada status Baitulmaqdis tiada kesan perundangan dan mesti ditarik balik, sebagai respons terhadap keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf kota purba itu sebagai ibu negara Israel.
Mesir mengedar draf teks tersebut kelmarin dan diplomat berkata majlis mungkin akan mengundi langkah dicadangkan itu seawal hari ini.
Presiden AS Donald Trump menyimpang daripada konsensi antarabangsa pada bulan ini apabila mengumumkan beliau mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel dan memindahkan kedutaan AS ke sana dari Tel Aviv, sekali gus mencetuskan tunjuk perasaan dan kecaman tegas.
Draf ketetapan yang diperolehi menegaskan Baitulmaqdis adalah satu isu yang mesti diselesaikan menerusi rundingan dan menyuarakan rasa amat kesal terhadap keputusan barubaru ini mengenai status Baitulmaqdis, tanpa menyebut khusus tindakan Trump.
“Sebarang keputusan dan tindakan yang mahu mengubah sifat, status atau komposisi demografi di Kota Suci Baitulmaqdis tiada kesan perundangan, batal dan tidak sah dan mesti ditarik balik,” katanya.
Diplomat berkata, mereka menjangka AS akan menggunakan kuasa veto untuk menyekat langkah itu manakala kebanyakan 14 ahli majlis lain dijangka menyokong draf ketetapan berkenaan.
Naib Presiden AS Mike Pence akan melawat Baitulmaqdis Rabu ini untuk menangani krisis berhubung salah satu isu paling kontroversi dalam konflik Israel-Palestin.
Israel merampas bahagian timur kota itu dalam perang Timur Tengah pada 1967 dan mendakwa Baitulmaqdis adalah ibu kota mereka yang tidak dapat dibahagi.
Palestin tetap menganggap bahagian timur kota itu sebagai ibu kota negara mereka yang telah sekian lama dijajah.
Duta Israel ke PBB Danny Danon mengecam sekeraskerasnya draf itu, dan menepisnya sebagai satu usaha Palestin untuk ‘mencipta semula’ sejarah.
“Tiada undi atau perdebatan yang akan mengubah realiti jelas bahawa Baitulmaqdis selama ini dan selama-lamanya adalah ibu negara Israel,” kata Danon.
Draf ketetapan itu menyeru kepada semua negara untuk tidak membuka kedutaan di Baitulmaqdis, yang mencerminkan kebimbangan kerajaan lain mungkin akan mengambil tindakan sama seperti AS.
Ia menuntut agar semua negara anggota tidak mengiktiraf sebarang tindakan yang bercanggah dengan ketetapan PBB tentang status kota itu.
Beberapa ketetapan PBB menyeru kepada Israel untuk berundur dari wilayah yang dirampas dalam perang 1967 dan mengesahkan semula keperluan untuk menamatkan kependudukan di tanah itu.
Palestin mahukan draf ketetapan dengan kata-kata tegas yang menyeru secara langsung kepada pentadbiran AS untuk membatalkan keputusannya.
Namun beberapa sekutu AS di dalam majlis itu seperti Britain, Perancis, Mesir, Jepun dan Ukraine enggan terlalu keras dan menegaskan langkah yang dicadangkan harus mengesahkan semula pendirian yang termaktub dalam ketetapan sedia ada, kata diplomat.
Disokong negara-negara Muslim, Palestin dijangka mengalih perhatian kepada Perhimpunan Agung PBB untuk meluluskan ketetapan yang menolak keputusan AS jika langkah itu dihalang oleh AS dengan kuasa veto dalam majlis.
Selain AS, Britain, China, Perancis dan Rusia dapat menggunakan kuasa veto ke atas sebarang ketetapan yang dikemukakan majlis, yang memerlukan sembilan undi untuk diluluskan. – AFP