Projek naik taraf siap Mei 2020
Menjadikan Hospital Tawau termoden di pantai timur
TAWAU: Projek mega naik taraf Hospital Tawau yang dijadual siap sepenuhnya menjelang pertengahan Mei 2020 akan menjadikannya hospital termoden di pantai timur Sabah.
Ketua Setiausaha Negara (KSN) Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata projek bernilai RM223.64 juta (Rancangan Malaysia Ke-11) itu dijangka mampu menampung keperluan pesakit yang kian meningkat.
“Menerusi projek ini, kerajaan berharap masyarakat Tawau akan dapat menikmati manfaat perkhidmatan perawatan kesihatan yang lebih berkualiti,” katanya.
Beliau berkata demikian sempena majlis pecah tanah projek itu di tapak seluas kirakira 1.9 ekar dalam kawasan sedia ada Hospital Tawau, di sini pada Isnin.
Menurutnya, pelaksanaan projek terbabit juga menunjukkan komitmen kerajaan bahawa tidak ada daerah atau bandarbandar yang dipinggirkan di dalam pembangunan negara.
“Hospital Tawau sebagai hospital kluster menjadi rujukan hospital-hospital seperti Semporna, Lahad Datu, Kunak dan Sandakan, bahkan negara jiran, Indonesia,” katanya.
Ali berkata antara yang dinaik taraf, 401 kapasiti katil hospital kepada 555 katil dan pertambahan kemudahan lain seperti enam dewan pembedahan dan 38 bilik klinik pakar baharu.
Menurutnya, Jabatan Kecemasan dan Trauma dan Jabatan Radiologi akan dinaiktaraf dengan kemudahan dan perkhidmatan lebih canggih serta terkini.
“Misalnya, melalui penambahan perkhidmatan baharu seperti Endoscopy Suites, penambahan aset MRI dan mesin Mammogram,” katanya.
Turut diberi perhatian, perkhidmatan sokongan perubatan seperti Pharmacy DriveThru, Total Parental Nutrition, Cytotoxic Drug Reconstitution dan Respiratory Hemodynamic Unit.
Ia termasuklah menaik taraf Bahagian Latihan dan Pembelajaran dan juga Bahagian Pentadbiran dengan kemudahan Unit Pendidikan Pesakit, Perpustakaan, Makmal Kemahiran, Quality and Research Centre dan auditorium yang mampu memuatkan 250 peserta dan bilik seminar berkapasiti 80 orang.
Mengulas lanjut, Ali berkata pihak hospital juga mengadakan rundingan dengan Majlis Perbandaran Tawau (MPT) untuk mendapatkan 440 petak parkir kereta.
“Pada masa hadapan, kita akan memikirkan cadangan untuk kemungkinan membina bangunan tempat letak kereta bertingkat dilengkapi kemudahan diperlukan,” katanya.
Menerusi projek ini, kerajaan berharap masyarakat Tawau akan dapat menikmati manfaat perkhidmatan perawatan kesihatan yang lebih berkualiti.
TAN SRI DR ALI HAMSA Ketua Setiausaha Negara