Persembahan Orang Ulu di Belanda memukau
MIRI: Kedutaan Malaysia di Belanda tertarik dengan keunikan persembahan kebudayaan Orang Ulu khususnya kaum Kayan dan Kenyah, sekali gus menyeru ia terus dipromosikan di peringkat antarabangsa.
Duta Besar Malaysia ke Belanda Datuk Ahmad Nazri Yusof berkata, persembahan sape dan tarian panjang Hivan Joh (dalam bahasa Kayan) merupakan sesuatu yang amat baharu dan unik.
“Saya gembira berpeluang menyaksikan kedua-dua persembahan ini kerana ia bukan sesuatu yang selalu kita dapat.
“Ramai penduduk Malaysia dan rakyat Belanda di sini begitu teruja dan seronok menyaksikan keduadua persembahan itu yang bagi kami adalah baharu, membuka mata dan unik,” katanya semasa merasmikan persembahan kebudayaan Orang Ulu oleh delegasi Baram Sape Master (BSM) di Bangunan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) di Rotterdam, Belanda baru-baru ini.
Ahmad Nazri turut memuji usaha dan kesungguhan jawatankuasa BSM yang diketuai Ketua Delegasi Temenggung Elizabeth Deng untuk mengetengah serta mempamerkan keunikan budaya Orang Ulu di peringkat antarabangsa.
Sementara itu, pada sesi taklimat susulan persembahan itu, Ahmad Nazri berharap pada masa hadapan, jawatankuasa dapat bekerjasama dan berhubung terus dengan kedutaan untuk mengadakan persembahan di sini.
Katanya, kedutaan di Belanda sedia bekerjasama dengan kedutaan besar Malaysia dari negara-negara Eropah yang lain untuk menjayakan program seumpama itu.
“Kita sentiasa menunggu peluang seperti ini, malah amat mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu membuat persembahan di sini memandangkan kebudayaan salah satu bidang di bawah kedutaan,” kata Ahmad Nazri.
Beliau berterima kasih kepada rombongan BSM kerana memilih untuk mengadakan persembahan di Kedutaan Besar Malaysia di Belanda dan berharap ia dapat membuka mata para peserta mengenai budaya Malaysia.
Sementara itu, Temenggong Elizabeth berkata delegasi amat berbangga kerana dapat merealisasikan impian untuk membuat persembahan di luar negara, sekali gus mengetengahkan budaya Orang Ulu dari Baram.
Katanya, delegasi tersebut terdiri daripada pemain sape dan penari Orang Ulu yang terbaik.
“Kita amat berbangga kerana dapat mempamerkan muzik sape dan tarian Hivan Joh yang asli di peringkat antarabangsa khususnya di Belanda.
“Kita berterima kasih kepada kedutaan dan berharap dapat bekerjasama pada masa akan datang,” jelas beliau lanjut.
Elizabeth berkata, masyarakat Orang Ulu terkenal dengan kebudayaan namun masih ramai yang tidak tahu penggunaan pakaian dan muzik sape yang asli.
“Kita mahu mempamerkan kebudayaan Orang Ulu yang asli di peringkat antarabangsa sebelum orang lain yang tidak arif mengenai orang Ulu berbuat demikian.
“Kita mahu masyarakat antarabangsa tahu identiti Orang Ulu yang sebenar,” tegasnya.
“Sebagai contoh, kami tidak mahu orang lain menjadikan pakaian tradisi Kayan Kenyah sebagai fesyen dan bukan yang asli.
“Justeru, persembahan ini amat penting untuk mendidik masyarakat dalam dan luar negara tentang identiti kita yang sebenar,” katanya.
Terdahulu, kakitangan dan keluarga Kedutaan Besar Malaysia ke Belanda, Matrade, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia, komuniti Malaysia yang tinggal berhampiran The Hague serta komuniti tempatan Belanda menyaksikan tarian Hivan Joh persembahan kumpulan penari Tingang Madang diketuai Connie Layun dengan iringan petikan sape.