Filem terkini melepasi AS$1 bilion dalam minggu ketiga
EPISOD terkini dalam siri popular ‘Star Wars’ telah melepasi tanda AS$1 bilion di seluruh dunia selepas hanya tiga minggu ditayangkan.
Ini sedikit sebanyak membantu tahun yang menyaksikan turun naik Hollywood serta memberikan dorongan yang nyata kepada Disney iaitu studio yang bertanggungjawab menghasilkan filem itu. Menurut Deadline.com, Disney adalah satu-satunya studio yang melepasi AS$5 bilion di seluruh dunia untuk tiga tahun terakhir.
‘Star Wars: The Last Jedi’ diramal akan melepasi sebuah lagi filem Disney, ‘Beauty and the Beast’, sebagai filem dengan kutipan tertinggi tahun 2017. ‘Beauty and the Beast’ memperolehi lebih daripada AS$500 juta di Amerika Utara dan melepasi AS$1.3 bilion di seluruh dunia.
Menurut pemerhati industri Exhibitor Relations, ‘Star Wars: The Last Jedi’ dijangka akan memperolehi lebih kurang AS$65.6 juta lagi sepanjang cuti hujung minggu empat hari di Amerika Utara, menjadikan kutipan keseluruhannya kepada AS$530.3 juta sejak ia ditayangkan pada tiga minggu lepas.
Saga ruang angkasa yang dibintangi oleh Daisy Ridley, Oscar Isaac, Adam Driver dan dua pelakon asal siri, Mark Hamill sebagai Luke Skywalker dan mendiang Carrie Fisher sebagai Puteri Leia.
Perolehan di Amerika Utara adalah lebih sedikit berbanding kutipan antarabangsa yang dianggar sebanyak AS$523 juta. ‘Star Wars: The Last Jedi’ adalah filem nombor satu di pawagam Eropah pada tahun ini.
Jika anggaran itu betul, ‘Star Wars: The Last Jedi’ akan menjadi filem kelapan yang memperolehi kutipan terbesar di Amerika Syarikat sepanjang masa.
Ia dibuka dalam pasaran China yang besar pada Jumaat. — AFP