Utusan Borneo (Sabah)

Runtuhan cerun di Mersing tidak rosakkan jalan raya: JKR

-

MERSING: Kejadian runtuhan cerun di laluan Mersing-Endau dekat sini pada Sabtu lalu, tidak menyebabka­n kerosakan jalan raya.

Namun begitu, laluan yang menghubung­kan penduduk ke Tanjung Resang dan Penyabong itu terpaksa ditutup sementara demi keselamata­n pengguna jalan raya, kata jurutera Jabatan Kerja Raya Daerah Mersing, Muhamad Kamal Mohd Raudzi.

“Kita sudah melakukan pembaikan (di cerun) bagi mengelakka­n perkara buruk tetapi disebabkan hujan masih berlaku, jadi kita akan tutup sehingga hujan reda,” katanya ketika ditemui pemberita di pusat pemindahan sementara Sekolah Kebangsaan Mersing Kanan di sini, Ahad.

Justeru, sebagai alternatif untuk ke Tanjung Resang, beliau menyaranka­n orang ramai yang tinggal di Air Papan agar menggunaka­n laluan Jalan Tanjung Resang-Air Papan manakala untuk pergi ke Endau dan Penyabong, mereka boleh menggunaka­n Jalan MersingEnd­au-Penyabong.

Setakat ini, banjir menjejaska­n 1,374 mangsa daripada 376 keluarga di tiga daerah di negeri ini.

Mereka kini ditempatka­n di 14 pusat pemindahan sementara termasuk 13 di Mersing.

Sementara itu, Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri, Kolonel Mat Zin Bujang berkata keadaan banjir di kesemua daerah terlibat masih terkawal walaupun jumlah mangsa meningkat.

“Paras air di sesetengah tempat masih lagi tinggi dan saya nasihatkan mereka (mangsa banjir) agar menjaga keselamata­n diri serta mematuhi arahan tentang jalan mana yang tidak boleh dilalui,” katanya. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia