Utusan Borneo (Sabah)

K’jaan Terengganu sediakan bidang kemahiran bantu golongan mak nyah

-

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri akan membantu golongan mak nyah yang mahu mengubah hidup mereka ke arah yang lebih positif bagi mengikuti pelbagai bidang kemahiran untuk mencari punca pendapatan yang tetap, kata seorang anggota Exco negeri.

Pengerusi Jawatankua­sa Komunikasi dan Multimedia dan Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib berkata dengan langkah itu diharap dapat membantu golongan itu daripada terjerumus kembali dalam kegiatan tidak bermoral.

Dengan itu, ia dapat menangkis tohmahan masyarakat yang sering menganggap golongan mak nyah banyak terlibat dalam kegiatan negatif termasuk pelacuran dan penyalahgu­naan dadah.

“Kumpulan ini akan dibawa menyertai satu kursus untuk diberi pendedahan dan kemahiran keusahawan­an yang bersesuaia­n. Sekurang kurangnya 20 peserta akan menyertain­ya di peringkat pertama ini sebelum ia diperluask­an.

Adalah menjadi harapan kerajaan negeri untuk membantu mereka menjadi modal insan berkualiti yang mampu memberi sumbangan bukan sahaja kepada diri sendiri malah kepada masyarakat dan negara,” katanya kepada pemberita selepas Program Temu Murni bersama kirakira 100 orang mak nyah dari kawasan Pantai Timur, di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, seorang daripada mak nyah yang kini telah bertaubat yang mahu dikenali sebagai Che Mat berkata inisiatif kerajaan negeri membantu golongan berkenaan amat dialu-alukan.

Katanya ada di kalangan mereka mahu berubah dan meninggalk­an kehidupan ‘hitam’ mereka namun tidak tahu saluran yang betul untuk memulakan kehidupan baharu yang lebih positif.

“Kita mahu bukan setakat bagi duit sahaja tapi pihak yang berkaitan kena pantau ‘rakan-rakan’ saya ini supaya apabila mereka berjaya kelak ia akan menjadi contoh kepada yang lain-lain,” katanya yang berasal dari Chabang Tiga di sini. - Bernama

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia