Projek bina parit konkrit untuk atasi banjir kilat di Limbang
LIMBANG: Kerajaan sudah melaksanakan projek pembinaan parit konkrit menggantikan parit tanah bagi mengatasi masalah banjir kilat yang berlaku di sini.
Menteri Muda Pertanian, Dr Abdul Rahman Ismail berkata projek di bawah Program Tranformasi Luar Bandar (RTP) itu sudah dimulakan di Kampung Pemukat dan Bukit Kota dan diteruskan di Jalan Buangsiol dan kawasan-kawasan lain.
Menurutnya, banjir kilat berlaku disebabkan masalah perparitan dan melanda di mana-mana kawasan termasuk di bandar besar negara ini.
“Pembinaan parit konkrit menggantikan parit tanah akan mengatasi masalah banjir kilat di sini.
“Apabila berlakunya hujan lebat bertembung dengan air pasang, banjir kilat tidak berlaku secara berpanjangan dengan pembinaan parit konkrit nanti,” katanya ditemui pada lawatan kerja ke tanah mendap Kampung Bukit Kota, pada Sabtu.
Turut hadir Pegawai Daerah Limbang Jamalie Busri, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Limbang Noor Ismail Razali dan ketua-ketua jabatan.
Sebelum ini, Limbang dilanda banjir kilat menyebabkan beberapa kawasan dinaiki air terutama membabitkan kawasan berhampiran Limbang Plaza, Hospital Limbang dan Taman Damai.
Sementara itu, Dr Abdul Rahman mahu kerja-kerja membaiki tanah mendap di Bukit Kota di sini dilakukan dengan sebaiknya termasuk mengenal pasti sejauh mana mendapan berlaku.
“Kita tidak mahu kerja-kerja pembaikan dilakukan di kawasan permukaan mendapan tetapi kawasan bawah tanah terbabit,” katanya.
Kerja pembaikan dijangka mengambil masa tiga hingga enam bulan oleh kontraktor sama yang melaksanakan Projek Pemuliharaan Tebing Bukit Kota dengan kos RM2 juta.
Projek di Bukit Kota dilaksanakan pada 2015 bagi menangani tanah susur di situ menyebabkan beberapa penduduk dipindahkan ke kawasan lebih selamat.
Adun Bukit Kota itu juga mahu JKR meletakkan tanda jalan dengan melarang kenderaan berat melintas jalan sekiranya kerja-kerja membaiki mendapan tanah dilakukan.