Perjuangan pelajar kian mencabar di peringkat menengah, kata Teng
SARIKEI: Perjuangan pelajar semakin mencabar dan penuh dugaan apabila melangkah ke peringkat menengah, kata Setiausaha Politik Ketua Menteri Teng Ung Woo.
Beliau berkata, pelajar peringkat menengah perlu bersedia menghadapi persaingan sama ada dalam bidang akademik mahupun kokurikulum.
“Jika ingin berjaya, kita menasihatkan pelajar agar menjaga disiplin, menghadiri kelas yang ditetapkan dan memastikan setiap tugasan diberikan guru disiapkan dengan sempurna.
“Namun demikian, kita berharap pelajar ini tidak hanya fokus kepada bidang akademik semata-mata, malah perlu aktif dalam bidang sukan dan aktiviti luar kelas yang dianjurkan pihak sekolah,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Tautan Kasih dan Jalinan Budi di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St Anthony (SAS) di sini, pada Jumaat.
Majlis itu dihadiri para pelajar tingkatan satu dan peralihan SAS, ibu bapa pelajar serta warga sekolah lain.
Menurut Teng, pelajar peringkat menengah perlu juga bijak memilih rakan agar mereka tidak terpengaruh dengan perkara melalaikan.
Beliau turut menggalakkan pelajar membimbing rakan sebaya agar menjauhkan diri daripada sebarang aktiviti tidak berfaedah.
“Kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk merealisasi hasrat kerajaan melahirkan pelajar berketerampilan dan berkualiti.
“Kepada masyarakat, jangan beranggapan bahawa tanggungjawab mendidik anak bangsa ini adalah tanggungjawab warga pendidik sahaja.
“Sedarlah bahawa tanggungjawab mendidik anak bangsa perlu digalas semua pihak, justeru kerjasama semua pihak dalam memastikan kecemerlangan pendidikan amat diperlukan,” tegas Teng.
Pada majlis itu, Teng turut menyampaikan insentif kepada pelajar tingkatan satu dan peralihan SAS yang mencapai prestasi memberangsangkan ketika di tahun enam pada 2017.
Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Sarikei Radin Foji, Pengetua SMK St Anthony Sarikei Liong Shou Chuan dan Pengerusi Lembaga Pengurusan Sekolah Fr James Ting Siong Hung.