Pegawai kanan polis kekal bebas tuduhan salah guna kuasa
KOTA KINABALU: Seorang pegawai kanan polis berpangkat Asisten Komisioner kekal dibebas dan dilepaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, atas pertuduhan menyalahguna kuasa.
Hakim Datuk Nurchaya Hj Arshad membuat keputusan itu terhadap Abd Radzak Ghani, 56, setelah membenarkan pembatalan rayuan daripada pihak pendakwaan.
Pada 23 Januari tahun lalu, Mahkamah Sesyen membebaskan dan melepaskan Abd Radzak daripada pertuduhan itu, selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan kedudukannya sebagai ahli dalam Mesyuarat Penilaian dan Pemilihan Sebut Harga Bilangan KPD, memilih syarikat Fulscale Development milik anak saudaranya Sharial Taufan Nerawi.
Mendapatkan tender 'Membekal Catuan Makanan Bermasak & Fresh Ration kepada Orang-Orang Tahanan Di Lokap Kota Kinabalu', bermula pada 1 Mei 2014 hingga 30 April 2016 dengan nilai kontrak RM432,000.
Kesalahan dilakukan pada 1 April 2014 jam 11.30 pagi di mesyuarat Pejabat Pesurujaya Polis Sabah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah (IPK), di sini.
Abd Radzak didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.
Hukuman penjara sehingga tempoh 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan, atau denda RM10,000 mengikut manamana nilai yang lebih tinggi.
Terdahulu, Timbalan Pendakwaraya Rozanna Abdul Hadi memberitahu, beliau mendapat arahan daripada SPRM Putrajaya untuk membatalkan rayuan menentang keputusan mahkamah rendah terbabit.
Nurchaya membatalkan rayuan terbabit dan mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen terhadap Abd Radzak yang diwakili peguam Zahir Shah.