Pemuda BN Labuan anjur Kopi-Kopi Anak Muda
LABUAN: Pergerakan Pemuda Barisan Nasional (BN) Labuan telah menganjurkan Program Kopi-Kopi Anak Muda Bersama Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli di Dewan Homestay Kampung Patau Patau 2, malam Ahad.
Ketua Pemuda B N Bahagian Labuan Datuk Mohd Rafi Alli Hassan berkata program yang Pemuda BN laksanakan itu adalah untuk memberi peluang kepada anak muda mendekati dan mengenali pemimpin nombor satu Labuan secara dekat.
Katanya, Program Siri Ke-1 itu hanya meliputi Zon 1 Pemuda Bersatu yang meliputi tujuh kampung di Wilayah Persekutuan Labuan.
Turut hadir, Naib Ketua Umno Bahagian Datuk Khalid Abd Ghani, Ketua Wanita Umno Bahagian Datuk Hajah Aini Haji Safar dan Naib Ketua Pemuda yang juga Pengerusi Penganjur Kopi Kopi Murshidi Juanah serta Naib Ketua Puteri Noridawati Abd Ghani.
Mohd Rafi yang juga Ketua Pemuda Umno Labuan berharap menerusi program itu, anak muda dapat memberikan pendapat dan cadangan kepada Rozman mengenai kehendak golongan itu terutama Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan pembangunan Labuan secara amnya.
“Inilah ruang dan peluang kepada generasi muda untuk memberikan cadangan dan pendapat mengenai hala tuju Labuan pada masa akan datang kepada Ahli Parlimen Labuan Datuk Rozman Isli,” katanya.
Beliau berkata kepimpinan BN dan Umno Bahagian Labuan akan terus membela dan menjaga kepentingan anak muda di Wilayah Persekutuan Labuan.