RM40 juta untuk manfaat 4,219 pelajar
KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan kira-kira RM40 juta dalam bentuk biasiswa yang memberi manfaat kepada 4,219 pelajar setiap tahun di Sabah.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman berkata, pelaburan dalam pendidikan sepanjang hayat amat diperlukan bagi membolehkan kerajaan menghasilkan tenaga kerja yang mahir, kreatif dan inovatif.
“Yayasan Sabah juga telah memberi pinjaman berjumlah RM210 juta kepada kirakira 10,000 pelajar sejak ia ditubuhkan, selain memberi biasiswa tahunan yang memberi peluang kepada 500 pelajar untuk melanjutkan pengajian.
“Pemberian biasiswa kepada pelajar dari semua lapisan masyarakat ini jelas membuktikan komitmen kita dalam menyediakan pendidikan untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama,” katanya pada Majlis Perhimpunan Perdana bersama Anggota Perkhidmatan Awam Negeri dan Persekutuan 2018, di sini pada Isnin.
Musa berkata, kerajaan negeri sentiasa menggalakkan penubuhan institut pengajian tinggi awam dan swasta termasuklah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Universiti Teknologi Mara Malaysia (UiTM) dan lain-lain.
Katanya, Hab Pendidikan Sabah di Sandakan juga diwujudkan bagi menyediakan kemudahan pendidikan tinggi dan kemahiran kepada semua lapisan masyarakat selain membolehkan anak-anak di luar bandar mendapat akses pendidikan tertiari dengan lebih dekat tanpa kos tinggi.
Beliau berkata, kerajaan juga akan terus melaksanakan Program Pembangunan Ibu Tunggal untuk memberikan pembangunan dan kemahiran berdikari.
Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukkan berjutajuta ringgit di bawah skim kredit mikro kepada hampir 20,000 ibu tunggal untuk membantu mereka memulakan perniagaan masingmasing.
Di bawah halatuju membasmi kemiskinan di negeri ini, Musa yang juga Menteri Kewangan berkata Sabah mencatat pencapaian memberangsangkan dalam usaha mengurangkan jumlah kemiskinan.
“Laporan Penyiasatan Pendapatan Isi Rumah 2016 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan bahawa insiden kemiskinan di Sabah menurun daripada 19.2 peratus pada 2009 kepada 7.8 peratus pada 2012, kemudian menurun kepada 3.9 peratus pada 2014.
“Angka ini terus menunjukkan penurunan yang signifikan kepada 2.9 peratus pada tahun 2016,” katanya.
Katanya, kerajaan juga pada setiap tahun memperuntuk berjuta-juta ringgit untuk meneruskan pelaksanaan Mini Estet Estet Sejahtera (Mesej), Ladang-ladang PPRT, Program Peningkatan Ekonomi Setempat (PPES), Program Kampung Sejahtera (PKS) dan Projek Pembangunan Kecil (PPK) untuk menjana pendapatan golongan miskin dan mensejahterakan rakyat di luar bandar.