Kadar miskin Sabah menurun
Hasil pelaksanaan pelbagai program transformasi kerajaan
Saya percaya kadar kemiskinan itu boleh diturunkan sehingga ke paras kurang dari 1 peratus menjelang berakhirnya Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11). TAN SRI MUSA HAJI AMAN Ketua Menteri
KOTA KINABALU: Program transformasi yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan lebih ramai isi rumah di Sabah keluar dari belenggu kemiskinan.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata sejak 2009, Sabah mencatatkan penurunan kadar kemiskinan paling ketara.
“Pada 2009, kadar kemiskinan Sabah mencatatkan sebanyak 19.7 peratus. Peratusan ini mencatatkan penurunan yang amat ketara sehingga ke paras 2.9 peratus pada 2016.
“Saya percaya kadar kemiskinan itu boleh diturunkan sehingga ke paras kurang dari 1 peratus menjelang berakhirnya Rancangan Malaysia Ke11 (RMK11),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Makan Malam sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dengan Menteri, Exco-Exco Luar Bandar (Mexclub), di sini pada Ahad.
Teks ucapannya disampaikan oleh Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Infrastruktur Tan Sri Joseph Pairin Kitingan.
Katanya usaha mentransformasikan luar bandar di Sabah adalah selaras dengan Halatuju Pembangunan dan Kemajuan Negeri Sabah yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Musa percaya mesyuarat berkenaan dapat mengupas isu-isu serta cadangan dalam menangani isu-isu pembangunan luar bandar di seluruh negara amnya dan Sabah khususnya.
“Usaha berterusan untuk mentransformasikan Sabah juga dimuatkan dalam pelan tindakan pada pelan strategik pembangunan jangka panjang Sabah (Sabah.LEAP 20162035).
“Antara perkara utama yang digariskan melalui Sabah. LEAP adalah sifar insiden kemiskinan menjelang tahun 2035, sementara kemudahan bekalan air bersih dan bekalan tenaga elektrik di luar bandar Sabah mencapai kadar 100 peratus.
“Bagaimanapun, semua ini hanya akan tercapai melalui hubungan rapat dan kerjasama erat antara Kerajaan Negeri dan Persekutuan,” katanya.
Sementara itu, beliau juga yakin KKLW akan mempergiatkan lagi pelaksanaan projek-projek kecil di bawah program Jalan Perhubungan Desa (JLD) di semua pelosok perkampungan seluruh negeri.
Katanya Kerajaan Negeri melalui Kementerian Pembangunan Luar Bandar dalam usaha membangunkan projek-projek pembasmian kemiskinan di bawah Program Mini Estet Sejahtera (Mesej) di kebanyakan daerah di Sabah.
Kesemua program itu jelasnya, sangat signifikan ke arah peningkatan kualiti hidup dan kehidupan sejahtera masyarakat luar bandar secara menyeluruh dan berkesan.
“Setakat ini, sebanyak 52 Mesej Pertanian, Akuakultur dan Mikro yang telah siap serta sedang dilaksanakan di seluruh negeri.
“Apabila siap sepenuhnya projek-projek Mesej ini akan dapat menempatkan kirakira 2,500 ketua isi rumah miskin tegar seluruh negeri,” katanya.
Turut hadir ialah Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.