Sri Lanka laksana semula larangan wanita beli minuman keras
COLOMBO: Presiden Sri Lanka kelmarin melaksanakan semula pengharaman selama empat dekad terhadap wanita membeli minuman keras, hanya beberapa hari selepas menteri kewangannya menarik balik sekatan tersebut.
Maithripala Sirisena menyatakan beliau mengarahkan Menteri Kewangan Mangala Samaraweera untuk menarik balik keputusannya pada minggu lepas untuk membatalkan undang-undang sejak 1970-an yang melarang penjualan semua jenis alkohol kepada wanita.
“Bermula esok (Isnin), arahan menteri akan dibatalkan,” menurut pejabat Sirisena dalam satu kenyataan, sambil menambah status quo akan dikembalikan namun tidak memberikan sebarang penjelasan.
Penarikan balik itu muncul selepas seorang pegawai kementerian kewangan memberitahu Samaraweera menarik balik undang-undang berusia 39 tahun itu dalam usaha memansuhkan rang undang-undang seksis dari kanun perundangan.
“Ideanya adalah untuk mengembalikan keneutralan jantina,” jurucakap kementerian Ali Hassen menyebut tentang keputusan yang dibuat Rabu minggu lepas untuk menarik balik pengharaman tersebut.
Namun keputusan minggu lepas untuk meringankan undang-undang alkohol mencetuskan tindak balas dalam beberapa bahagian di negara majoriti Buddha dengan 21 juta populasi itu.
Pergerakan Nasional bagi Perlindungan Hak Pelanggan menuduh menteri kewagan menggalakkan pengambilan alkohol, lantas menggesa Sirisena untuk campur tangan dan mengembalikan sekatan tersebut.
Di bawah langkah baharu seterusnya yang dikemukakan Samaraweera, bar dan pub masih boleh dibuka lebih lama, manakala pengharaman terhadap wanita daripada bekerja di bar, kilang pembuatan arak dan kilang bir ditarik balik.
Namun pejabat Sirisena menyatakan beliau mengurangkan tempoh operasi bar.
Namun tidak jelas daripada kenyataan Sirisena kelmarin sama ada keputusan untuk membenarkan wanita bekerja dalam industri alkohol turut ditarik balik.
Pengharaman terhadap wanita membeli minuman keras pada 1979 kemungkinan mulanya bagi menenangkan hirarki Buddha konservatif, kata pegawai kementerian kewangan.
Kedai minuman keras turut dilarang menjual arak kepada pihak polis atau anggota pasukan bersenjata yang memakai pakaian seragam.
Samaraweera menyatakan sekatan tegas terhadap pengeluar minuman keras berlesen hanya menggalakkan pasaran gelap arak tanpa lesen dan menghalang hasil pendapatan yang amat diperlukan negara.— AFP