Hairi miliki potensi
Sebagai penjaga gol kebangsaan
KUALA LUMPUR: Pengendali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB), Nor Saiful Zaini Nasiruddin percaya penjaga golnya, Mohammad Hairi Abd Rahman (gambar) akan ‘diangkat’ selaku penjaga gol utamaskuadhokikebangsaan menggantikan S. Kumar, selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam Liga Hoki Malaysia (LHM) 2018.
Nor Saiful berkata bekas penjaga gol pasukan ‘adik’ TNB iaitu TNB Thunderbolts itu memiliki potensi besar untuk mengambil alih tugas tersebut selepas menunjukkan prestasi terpuji dalam dua aksi pertama TNB pada saingan Divisyen Premier LHM 2018.
Beliau berkata apa diperlukan Mohammad Hairi ketika ini adalah masa serta peluang bermain untuk mendapatkan lebih pendedahan beraksi yang akan membantunya membina keyakinan diri.
“Dia (Mohammad Hairi) hanya perlu diberikan masa dan peluang bermain untuk mendapatkan keyakinan diri. Kini dia merupakan penjaga gol utama TNB dan ia satu peluang terbaik untuk dia membuktikan kemampuannya ketika berdepan dengan ramai pemain berstatus dunia dalam LHM.
“Saya rasa kalau dia terus mengekalkan prestasi cemerlang, dia mungkin akan mendapat tempat dalam barisan pemain utama skuad kebangsaan satu hari nanti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita sejurus tamat perlawanan Divisyen Premier LHM 2018 antara TNB dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, pada Ahad.
Pada aksi tersebut, Mohammad Hairi mempamerkan aksi memukau selepas berjaya menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya KLHC untuk membantu TNB mencatat kemenangan 4-2 ke atas juara Piala Sumbangsih LHM 2018 itu, sekali gus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu liga dengan enam mata.
Sebagai rekod, S. Kumar yang sudah beraksi hampir 19 tahun bersama skuad kebangsaan digantung sementara daripada sebarang aktiviti hoki selama dua tahun selepas disahkan positif ujian doping pada Kejohanan Hoki Piala Asia di Dhaka, Bangladesh, Oktober lepas.
Justeru, pelbagai spekulasi timbul mengenai siapa yang bakal mengisi tempat ditinggalkan S. Kumar itu dengan penjaga gol berpengalaman, Roslan Jamaluddin disebut-sebut sebagai calon tepat untuk menggalas tanggungjawab tersebut. - Bernama
“Dia (Mohammad Hairi) hanya perlu diberikan masa dan peluang bermain untuk mendapatkan keyakinan diri. Kini dia merupakan penjaga gol utama TNB dan ia satu peluang terbaik untuk dia membuktikan kemampuannya ketika berdepan dengan ramai pemain berstatus ” dunia dalam LHM. NOR SAIFUL ZAINI NASIRUDDIN Pengendali pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB)