Warga Perbadanan Labuan perlu proaktif
LABUAN: Semua kakitangan Perbadanan Labuan (PL) disaran untuk terus bekerja dengan lebih proaktif dan sentiasa berfikiran positif.
Ia bagi memastikan sistem perkhidmatan yang disampaikan memberi keyakinan dan terbaik kepada rakyat.
Pengerusi Perbadanan Labuan Datuk Rozman Isli turut menyarankan agar warga PL bersatu hati tanpa mengira pangkat, bidang tugas dan jabatan untuk sama-sama memastikan dasar-dasar dan keputusan yang dibuat kerajaan dilaksanakan dengan segera.
Katanya, dengan kemudahan teknologi yang semakin canggih, polisi dan cara kerja perlu diubah bagi mengatasi masalah kelewatan perkhidmatan yang disampaikan.
“Selaras dengan peredaran zaman yang serba mencabar ini, warga PL juga perlu mengikut perubahan dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di Wilayah Persekutuan Labuan,” katanya.
Rozman yang juga Ahli Parlimen Labuan berkata demikian pada Perhimpunan Bulanan dan Majlis Amanat Tahun Baru 2018 Bersama Pengerusi Perbadanan Labuan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan, Tanjung Purun.
Pada majlis itu, turut diadakan pemakaian pingat untuk anggota penguatkuasa sebagai pengiktirafan dan penyampaian Sijil Laman Web 5 Bintang yang diiktiraf oleh Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu).
Turut hadir, Ahli Dewan Negara Senator Datuk Bashir Alias, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Azhar Ahmad dan Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Labuan.