Hospital Langkawi naik taraf kepakaran major dalam RMK-11
LANGKAWI: Status Hospital Langkawi bakal dinaiktaraf menjadi hospital kepakaran m a j o r dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-11, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Isnin.
Katanya setakat ini, hospital berusia 103 tahun ini berstatus hospital kepakaran minor dengan menyediakan hanya tujuh bidang kepakaran dan perancangan infrastruktur dan penyediaan pakar perubatan sedang giat dijalankan bagi memenuhi status lebih tinggi ini.
“Apabila sudah menjadi hospital kepakaran major, rakyat di Langkawi akan mendapat perkhidmatan yang lebih komprehensif dan tidak perlu dirujuk ke tanah besar (Semenanjung Malaysia) lagi,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan perkhidmatan Ambulans Udara di Hospital Langkawi.
Menurutnya, kerajaan sudah meluluskan peruntukan berjumlahkira-kiraRM500juta bagi membina blok bangunan baharu bagi menampung 230 katil pesakit lagi sebagai permulaan inisiatif menaiktaraf hospital berkenaan.
“Lebih 200 buah kuarters untuk kemudahan kakitangan kita juga akan dibina di Air Hangat kerana saya difahamkan memang susah untuk menyewa rumah di Langkawi ini,” katanya.
Dr Hilmi berkata perancangan untuk menaiktaraf Hospital Langkawi ini juga akan dapat mengurangkan jumlah kes pesakit yang perlu mendapatkan rawatan pakar dipindahkan ke hospitalhospital terdekat di masa hadapan.
“Kalau diikutkan statistik, kita menerima (purata) 20 kes perpindahan perubatan kecemasan setahun untuk rawatan pakar tetapi pada masa hadapan dengan adanya lebih ramai lagi (doktor) pakar di sini, jumlah (perpindahan kecemasan) ini akan berkurangan,” katanya.
Katanya perkhidmatan Ambulans Udara yang dilancarkan pada Isnin merupakan langkah semasa bagi memudahkan para pesakit di Langkawi mendapatkan rawatan kepakaran segera di hospital-hospital pakar di Kedah dan Pulau Pinang.
Beliau berkata kerajaan memperuntukkan hampir RM10 juta setahun untuk menyediakan Ambulans Udara ini yang merupakan perkhidmatan pertama seumpamanya di negara ini dan 50 orang petugas Hospital Langkawi sudah dilatih untuk menjalankan perkhidmatan ini
Beliau berkata perkhidmatan kendalian syarikat Aerial Power Line Sdn Bhd secara kontrak selama dua tahun menggunakan helikopter Airbus H135 yang diubahsuai untuk pemindahan perubatan. - Bernama