SICC siap Oktober, bakal jadi mercu tanda Kota Kinabalu
Bakal jadi mercu tanda Kota Kinabalu
PEMBINAAN Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) dijangka siap pada Oktober tahun ini.
Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman berkata, setakat ini kerja penyelenggaraan di tapak projek SICC berjalan dengan baik.
Menurutnya, Sabah menghadapi kekurangan tempat untuk penganjuran program seperti persidangan peringkat antarabangsa.
Justeru katanya, SICC bakal membuka lebih banyak peluang terutamanya kepada golongan peniaga dan pengusaha untuk mengadakan persidangan, mesyuarat ataupun pameran di peringkat antarabangsa.
“SICC adalah satu lagi pembangunan yang menjadi mercu tanda di Kota Kinabalu.
“Saya percaya ini yang dikehendaki para peniaga dan pengusaha supaya mereka boleh mengadakan program yang lebih besar.
“Kita berpuas hati dan gembira dengan mutu pembinaan di bangunan SICC ini dan berharap ia dapat disiapkan mengikut jadual yang ditetapkan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas mengadakan lawatan di tapak projek SICC di Kota Kinabalu pada Khamis. Ketibaan Musa disambut Pengarah Yayasan Sabah Datuk Sapawi Haji Ahmad.
Lawatan berkenaan turut disertai barisan jemaah menteri, ahli-ahli Dewan Perniagaan Bumiputera dan Dewan Perniagaan Cina.
Musa berkata, selain bantuan kewangan daripada Yayasan Sabah sebagai pemilik SICC, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abd Razak turut memberikan sumbangan berjumlah RM250 juta untuk pelaksanaan SICC.
“Pembinaan SICC memang menelan belanja yang besar kerana ia bersesuaian dengan keluasannya untuk menganjurkan program bertaraf antarabangsa,” jelasnya.
SICC meliputi kawasan seluas 15 ekar yang bakal dilengkapi dengan kemudahan berteknologi canggih termasuklah Performing Arts Hall yang mampu memuatkan seramai 1,200 penonton.
Selain dilengkapi dengan dewan konvensyen yang luas, SICC turut menyediakan bilik mesyuarat yang fleksibel dan ruang pameran yang besar.