700 sertai larian 100 tahun industri sawit negara
LAHAD DATU: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi Malaysia (MPIC) dan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya menganjurkan Larian 100 Tahun Industri Sawit sempena sambutan ulang tahun 100 tahun penanaman sawit secara komersial (1917-2017).
Larian 100 Tahun Industri Sawit yang dirasmikan Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Datu Nasrun Datu Mansur, di sini, baru-baru ini, diadakan secara bersiri bermula di Lahad Datu, Sabah dan seterusnya di Putrajaya serta Kuching, Sarawak.
Penganjuran Larian 100 Tahun Industri Sawit (Fun Run) melibatkan jarak sejauh enam kilometer dan menarik perhatian lebih 700 peserta terdiri wakil sektor komoditi, kakitangan jabatan kerajaan dan swasta, pelajar dan orang ramai sekitar Daerah Lahad Datu.
Sebanyak lima kategori dipertandingkan terbahagi kepada Lelaki; Wanita; Veteren Lelaki; Veteren Wanita dan pelajar sekolah menengah yang menawarkan hadiah berupa produk berasaskan sawit seperti minyak sawit merah, minyak masak, barangan elektrik, medal dan sijil penyertaan kepada pemenang.
Acara sampingan sempena larian ini melibatkan beberapa aktiviti persatuan sukan dan rekreasi Daerah Lahad Datu seperti aktiviti berbasikal, pertandingan bola sepak 9 sebelah, dart dan keusahawanan. Turut diadakan juga aktiviti berswafoto di ‘Photobooth’ dan juga mini pameran bagi perkongsian maklumat berkaitan industri sawit.
Larian 100 Tahun Industri Sawit diadakan dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan Negeri Sabah dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Sempena sambutan 100 Tahun Industri Sawit Malaysia, MPIC dan agensi dibawahnya MPOB, Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dan Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) juga menganjurkan pelbagai program dan aktiviti yang meliputi majlis pelancaran oleh Perdana Menteri Malaysia pada 18 Mei lalu, pengeluaran setem dan syiling peringatan, penerbitan buku bergambar ‘Coffee Table Book’, dan program publisiti bagi memberi pendedahan meluas industri sawit sebagai tunggak komoditi utama negara yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.