Persaraan Guru Besar SK Mempagar dirai
BEAUFORT: Majlis persaraan Guru Besar Sekolah Kebangsaan (SK) Mempagar Haji Tajudin telah diadakan di dewan alumni sekolah berkenaan pada Isnin.
Majlis Guru Besar (MGB) Daerah Beaufort tidak ketinggalan meraikan majlis persaraan itu, sekali gus menyambut ulang tahun kelahiran beliau yang jatuhnya pada tanggal 16 Januari.
Yang Dipertua M G B Daerah Beaufort Abd Ghafar Majid berkata, penyertaan MGB dalam setiap program yang diadakan adalah sebagai tanda sokongan dan penghormatan, seterusnya mengukuhkan hubungan kerjasama dengan semua pihak.
“Kerjasama dengan MGB penting dalam usaha menjayakan program yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan berkesan,” katanya ketika berucap pada majlis itu. Turut hadir, Pegawai Perhubungan Parlimen Sipitang Matbali Musa.
Pada tahun lepas katanya, MGB turut meraikan majlis persaraan seramai lima guru besar di daerah ini.
Menurutnya, majlis seperti itu memberi kesempatan kepada MGB untuk menjalinkan hubungan silaturrahim serta saling berkenalan dengan satu sama lain.
“Selain itu, berkesempatan menyaksikan penglibatan individu dan ahli jawatankuasa pelaksana menjayakan sesuatu program dengan berkesan,” katanya.
Ghafar berkata, setiap tahun ada sahaja guru besar yang akan bersara dan sudah tentunya kehilangan mereka amat dirasai yang mana, sebelum ini berjuang dalam MGB.
Katanya, penyertaan dan penglibatan mereka menjayakan program bersama MGB amat menggalakkan dan ia berupaya memberi dorongan dan semangat kepada rakan guru besar yang masih berkhidmat.
“Penyertaan mereka merupakan sokongan padu kepada MGB bagi membantu meningkatkan pencapaian prestasi akademik di daerah ini,” katanya.
Beliau mewakili MGB merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Tajudin yang telah memberikan perkhidmatan terbaik termasuk penglibatan dalam MGB semasa masih berkhidmat sebelum ini.