Manfaatkan pengiktirafan untuk tarik pelancong ke Perak
IPOH: Penggiat industri pelancongan di Perak perlu menggunakan pelbagai pengiktirafan pelancongan yang diterima daripada pihak luar sebagai nilai tambah untuk mempromosi produk pelancongan serta menarik lebih ramai pengunjung ke negeri ini.
Exco Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata antara pengiktirafan yang perlu diguna pakai sertai dihargai ialah pengiktirafan Perak sebagai antara 10 wilayah terkemuka dunia untuk dilawati oleh portal pengembaraan dunia, Lonely Planet.
“Penggiat industri pelancongan kurang menunjukkan rasa kepunyaan tentang pengiktirafan yang diberikan, hanya jabatan dan agensi dilihat lebih menghargainya,” katanya selepas merasmikan mesyuarat meja bulat Persatuan Pelancongan Perak di sini pada Khamis.
Beliau berkata pihaknya memahami bahawa penggiat industri pelancongan memasarkan produk mereka menerusi rangkaian tersendiri, namun pengiktirafan yang diberikan kepada negeri ini tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
“Bukan mudah untuk satusatu pengiktirafan diberikan, malah jika digunakan dan dipasarkan dengan betul, ia memberi kreadibiliti apabila menjual produk pelancongan di Perak,” katanya.
Menurut Nolee Ashilin, orang awam juga antara faktor penting dalam melonjakkan industri pelancongan di negeri ini apabila mereka memberi layanan yang baik serta menceritakan tentang produk pelancongan kepada pengunjung.
“Sikap berbudi bahasa dan sopan santun adalah kunci kejayaan bagi industri pelancongan. Orang (pelancong) akan selalu ingat sekiranya mereka dilayan dengan baik, malah sikap itu mungkin akan diamalkan dalam kehidupan mereka,” katanya.
Mengenai mesyuarat hari ini, Nolee Ashilin berkata seramai 138 peserta daripada pelbagai sektor pelancongan, pihak berkuasa tempatan, swasta dan pengusaha produk menyertai mesyuarat itu.
Katanya, mesyuarat itu akan memberi tumpuan kepada dua objektif iaitu penubuhan Pusat Pengurusan Maklumat Komuniti (CIMC) serta penghasilan buku panduan pelancongan 2018-2020. -Bernama