IBSC bincang, sebar maklumat terkini rawatan dan kajian sains biokesihatan
KUCHING: Persidangan Sains BioKesihatan Antarabangasa (IBSC) Institut Perubatan dan Pergigian Termaju( AM DI) Ketiga berlangsung di sebuah hotel terkemuka di sini bermula Jumaat hingga Sabtu.
Bertemakan ‘Emerging Infectious Diseases,’ persidangan dua hari ini merupakan anjuran AMDI, Universiti Sains Malaysia dengan kerjasama Biro Konvensyen Sarawak (SCB).
IBSC adalah platform yang mengumpulkan para penyelidik, doktor dan pemain industri untuk membincang dan menyebarkan maklumat mengenai kemajuan terkini rawatan dan kajian dalam bidang sains biokesihatan berkaitan penyakit berjangkit yang baharu muncul.
Persidangan dua hari itu akan memberi fokus kepada beberapa perbincangan yang tidak terhad kepada teknologi terkini alat-alat diagnotik, isu semasa mengenai wabak virus Ebola di wilayah Afrika termasuk pelbagai penyakit melibatkan ejen berjangkit.
Istimewa IBSC kali ini ialah acara prapersidangan Simposium Antarabangsa yang dihoskan buat julung kalinya mengenai perubatan herba.
Simposium ini menekankan praklinikal, klinikal dan bioteknologi perubatan herba ke arah kelestarian penjagaan kesihatan pada masa depan dengan memfokuskan kepada pencarian tumbuhan perubatan daripada sumber semula jadi hingga aplikasi klinikalnya.
Seramai 431 delegasi menyertai persidangan ini termasuk pembentang dari Belanda, Korea, Singapura dan United Kingdom.
Daripada jumlah ini, seramai 117 delegasi menyertai prapersidangan Simposium Antarabangsa pertama mengenai perubatan herba.
Sempena persidangan ini, AMDI juga menganjurkan program komuniti iaitu Memperkaya Komuniti Bako Hulu Ke Arah Kelestarian Kesihatan di Kampung Bako Hulu pada 18 Januari.
Pada program tersebut, pakarpakar AMDI menyediakan rawatan perubatan percuma sebagai cara menyumbang kembali kepada komuniti setempat.
Projek khidmat masyarakat ini menjadi kenyataan dengan bantuan SCB dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak.
Adalah menjadi harapan persidangan ini akan menjadi jambatan bagi menghubungkan USM, institusi tempatan dan luar negara.