Kerajaan sokong penganjuran pertandingan tarian singa
KUCHING: Kerajaan negeri menerusi Kementerian Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan menyokong penuh penganjuran pertandingan tarian singa di bandar raya ini.
Menterinya Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, pertandingan itu bukan sahaja untuk memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina, malah salahsatuprodukpelancongan di negeri ini.
“Kementerian menyokong penuh penganjuran pertandingan ini dan kita berharap ia akan dianjurkan pada skala yang lebih besar pada tahun depan.
“Kita sudah ada penerbangan terus dari China, kita cuba menarik penyertaan peserta dari negara itu pada penganjuran seterusnya termasuk dari Pulau Pinang dan negerinegeri lain,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pertandingan Tarian Singa Plaza Merdeka kali ketiga yang berlangsung di pusat beli-belah tersebut, pada Sabtu.
Terdahulu dalam ucapannya, Abdul Karim mengucapkan tahniah kepada penganjur yang telah berjaya menganjurkan pertandingan itu bagi memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina.
Lebih menarik, pertandingan itu bukan sahaja disertai oleh peserta dari kalangan kaum Cina, tetapi juga peserta dari kalangan kaum lain seperti Dayak dan Melayu.
“Meskipun tarian ini asalnya dari masyarakat Cina, tetapi ia turut ditari oleh penari bukan Cina yang menggambarkan keharmonian masyarakat majmuk di negeri dan negara ini,” ujarnya.
Bercakap mengenai pertandingan tersebut, ia disertai sebanyak 13 pasukan termasuk peserta dari Singapura, Selangor dan Sabah selain peserta tempatan.
Antaranya, Persatuan Tarian Singa dan Naga Sin Yang Sarawak, Kumpulan Singa Kwong Wai Kuching, Persatuan Tarian Singa dan Naga Hong Yang Kuching, Pasukan Tarian Singa dan Naga Persatuan Buddhist Orthodox Sarikei, Tarian Singa dan Naga Wushu Sibu dan Persatuan Ji Xiang Ru Yi Tarian Naga dan Singa Bau.
Turut mengambil bahagian ialah Persatuan Tarian Singa dan Naga Tian Eng Singapura, Kelab Tarian Naga dan Singa Tian Eng Ban Hock, Persatuan Hua Yaw Tarian Naga dan Singa Kuching, Persatuan Tarian Naga dan Singa Kota Sentosa, Kumpulan Tarian Singa dan Naga Fook Tet Kung Penampang Sabah, Persatuan Tarian Singa dan Naga Tian Eng Sarawak dan Pertubuhan Tarian Singa Hong Teik Sekinchan Selangor.
Juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 berserta piala dan pingat, manakala tempat pertama (RM1,500), kedua (RM1,000) dan ketiga (RM800).
Turut hadir menyaksikan pertandingan itu semalam, Pengarah Urusan Pusat BeliBelah Plaza Merdeka Dato Steve Ng serta yang lain.