DBKK hargai bantuan kewangan kerajaan negeri, Pusat
KOTA KINABALU: Sokongan serta bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan membantu Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk mencapai visinya menjelang tahun 2020.
Mayor DBKK, Datuk Yeo Boon Hai berkata, semua perancangan dan pelaksanaan projek infrastruktur, perkhidmatan dan kemudahan awam di bandaraya tidak menjadi kenyataan tanpa sokongan dan bantuan kewangan daripada kerajaan negeri dan Persekutuan.
Menurut beliau, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM60.65 juta peruntukan pembangunan kepada DBKK dan RM54 juta peruntukan perbekalan dan peruntukan khas bagi tahun 2016 sehingga 2018.
“Selain daripada itu, peruntukan untuk pembangunan luar bandar yang diterima daripada kerajaan negeri berjumlah RM15.2 juta.
“Kerajaan Persekutuan memberikan bantuan kewangan dalam bentuk geran pengurusan tahunan kepada DBKK berjumlah RM3.95 juta dan peruntukan untuk pelbagai projek pembangunan sebanyak RM9.7 juta bagi 2016 dan 2017,” katanya berucap pada Upacara Menaikkan Bendera dan Perarakan sempena Ulang Tahun Ke18 Bandaraya Kota Kinabalu di Padang Merdeka, petang Jumaat.
Kata Yeo, Bajet 2018 adalah terbaik untuk rakyat dan khususnya kepada pihak berkuasa tempatan.
Jelasnya, semua itu bertujuan untuk memberikan perkhidmatan bandaraya dengan lebih baik dan mempertingkatkan kesejahteraan rakyat.
“Sehubungan itu, kami di DBKK sentiasa menyokong penuh kerajaan negeri dan persekutuan yang membantu kami untuk mencapai visi bagi menjadikan Kota Kinabalu sebagai sebuah bandaraya yang bersih, hijau dan berdaya huni menjelang tahun 2020,” tambah beliau.
Dalam pada itu, Yeo berharap agar pegawai dan kakitangan DBKK dapat bekerja sebagai satu pasukan dan bergerak sehati sejiwa demi memberikan perkhidmatan yang mesra, cepat, cekap serta berkesan.
Pada upacara itu, sebanyak 29 kontinjen dan 1,564 orang yang menyertai perbarisan tersebut.
Hadir sama Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri merangkap Menteri yang Bertanggungjawab kepada DBKK, Datuk Ir. Edward Yong Oui Fah, Ketua Pengarah DBKK, Datuk Joaness Solidau, dan Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu, ACP M.Chandra.