Mahkamah Agung Maldives arah pembebasan penentang politik
MALE: Ketegangan meruncing di Maldives semalam selepas keputusan Mahkamah Agung yang mengejutkan, untuk membebaskan bekas presiden yang hidup dalam buangan dan lapan penentang politik lain yang disabit kesalahan, mencetuskan pertelingkahan sepanjang malam antara polis dengan aktivis pembangkang.
Polis melepaskan gas pemedih mata untuk meleraikan ratusan penyokong pembangkang yang menunjuk perasaan di jalanan lewat kelmarin selepas mahkamah membuat keputusan, satu cabaran besar kepada kuasa Presiden Abdulla Yameen.
Ia membuka jalan bagi pemimpin pertama Maldives yang dipilih secara demokratik Mohamed Nasheed untuk kembali daripada buangan dan bertanding untuk jawatan presiden dalam pilihan raya yang dijadualkan pada tahun ini.
Imej Maldives yang popular sebagai syurga percutian mewah rosak teruk disebabkan oleh usaha besar-besaran untuk mengekang tentangan di bawah Yameen, yang telah menyelia pemenjaraan hampir semua pembangkang politik.
“Jika situasi tidak dapat dikawal, kerajaan akan mengisytiharkan keadaan darurat,” kata sumber tentera yang enggan dikenali kepada AFP semalam.
Dalam satu lagi tanda ketegangan yang semakin meruncing, kerajaan memecat ketua polis negara malam kelmarin, dan berkata Yameen tidak dapat menghubunginya.
Polis sebelum ini berkata mereka akan melaksanakan keputusan mahkamah agar tahanan politik yang dikurung dalam penjara dibebaskan sementara menunggu perbicaraan semula, tetapi ia belum jelas bila ini akan berlaku.
Dalam satu tweet, Nasheed mengalu-alukan keputusan Mahkamah Agung dan me-nuntut “pembebasan segera tahanan politik dan pemulihan hak politik dan sivil mereka”.
“Presiden Yameen mesti akur kepada keputusan ini dan meletak jawatan,” ujarnya.
Nasheed, yang kini berada di negara jiran Sri Lanka, pernah berjanji untuk mencabar Yameen dalam pilihan raya presiden.
Bekas presiden Nasheed, seorang aktivis menentang perubahan iklim yang berkarisma dan berprofil tinggi, didapati bersalah pada 2015 atas tuduhan terorisme yang dikritik umum sebagai bermotifkan politik dan dijatuhi hukuman penjara selama 13 tahun.
Kelmarin Mahkamah Agung memutuskan perbi-caraannya dan lapan penentang lain mempunyai kelemahan yang serius.
Mahkamah berkata “sifat perbicaraan pemimpin politik yang menimbulkan pertanyaan dan bermotifkan politik menuntut diadakan perbicaraan semula”.
Ia turut membatalkan pengusiran 12 ahli perundangan yang membelot dari parti Yameen dan memulihkan kerusi mereka dalam langkah yang memberikan majoriti kepada pembangkang dalam parlimen 85 ahli.
“Keputusan Mahkamah Agung menamatkan pemerintahan kuku besi Presiden Yameen,” pembangkang me-nyebut dalam satu kenyataan untuk menuntut perletakannya.