Lelaki curi lembu ditahan di Batu Kawan
BATU KAWAN: Tindakan pantas seorang pemancing ikan memaklumkan kepada penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang sedang membuat operasi di Valdor, Sungai Bakap berhubung kejadian empat lelaki mencuri lembu, berjaya menahan seorang daripada mereka pada Jumaat.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5 petang itu, lelaki yang sedang memancing ikan di bawah jambatan di kawasan berkenaan ternampak suspek mencuri lembu sebelum mereka melarikan haiwan tersebut menggunakan sebuah kereta jenis Proton Wira.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Supt Shafee Abdul Samad berkata pemancing itu bertindak mengejar kereta dinaiki empat lelaki berkenaan sebelum dia ternampak penguat kuasa JPJ sedang membuat sekatan serta pemeriksaan di jalan bertentangan dan memaklumkan kejadian berkenaan.
“Penguat kuasa JPJ bertindak mengejar kereta suspek dengan kenderaan mereka dari Valdor sehingga kekawasanperindustrian-Batu Kawan iaitu kira-kira enam kilometer sebelum melanggar Proton Wira berkenaan selepas pemandunya enggan memberhentikan kereta tersebut.
“Seorang daripada mereka berjaya ditahan manakala tiga rakan suspek sempat melarikan diri dan pemeriksaan awal mendapati kereta itu menggunakan nombor pendaftaraan palsu serta dipercayai kenderaan curi yang dilaporkan hilang di Baling, Kedah baru-baru ini “katanya kepada Bernama di sini pada Sabtu.
Shafee berkata seekor lembu yang dicuri kumpulan itu turut ditemukan di dalam kereta Proton Wira berkenaan dan polis juga merampas pelbagai barangan antaranya parang, pedang samurai serta alat penyuntik yang digunakan mereka untuk mencuri.
Katanya modus operandi kumpulan itu ialah menyuntik lembu atau haiwan yang mereka mahu curi dengan ubat pelali bagi memudahkan mereka mencuri haiwan berkenaan sebelum melarikannya dengan menaiki kereta dan menjual kepada sindiket.