Limus ajak rakyat pertahan perpaduan
KUALA PENYU: Masyarakat berbilang kaum dan agama yang ada di daerah ini digesa mempertahankan perpaduan yang ada demi menjamin keharmonian dalam hidup bermasyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Penyu Datuk Limus Jury berkata, kesatuan dalam masyarakat adalahpentingbagimemastikan pembangunan dapat dibawa dengan lancar tanpa sebarang kacau-bilau.
Katanya, masyarakat majmuk yang sentiasa hidup dalam keadaan harmoni di Kuala Penyu wajar dipertahankan demi menjamin suasana harmoni yang sekian lama dinikmati rakyat di kawasan ini.
“Saya ingin mengambil kesempatan sempena program ini untuk mengajak seluruh masyarakat di kawasan ini terus mengekalkan keharmonian yang dinikmati hari ini agar suasana ini dapat dinikmati oleh generasi akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan Majlis Tarian Singa ‘Free-Show’ di Pekan Kuala Penyu, petang Sabtu.
Dalam pada itu, Limus yang juga ketua bahagian Upko Beaufort turut mengajak rakyat khususnya di kawasan ini untuk terus memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada kerajaan.
Katanya, rakyat harus memberi mandat kepada kerajaan kerana telah membawa pelbagai kemajuan bukan sahaja untuk rakyat Sabah secara keseluruhan malah rakyat di Kuala Penyu.
“Dengan adanya perpaduan ini, banyak perkara yang kita boleh laksanakan. Keharmonian ini juga secara tidak langsung dapat menjamin kestabilan seterusnya membolehkan kerajaan melaksanakan pelbagai pembangunan untuk kepentingan rakyat.
Pada majlis itu, sebanyak tiga kumpulan terlibat mempersembahkan tarian singa yang disaksikan oleh kirakira 1,000 masyarakat Kuala Penyu yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.