Tiada pertandingan jawatan tertinggi bukan bermaksud tiada demokrasi dalam PBB
KUCHING: Ketiadaan pertandingan jawatan tertinggi dalam Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bukan bermaksud parti itu tidak mengamalkan demokrasi.
Sebaliknya, keputusan pemimpin tertinggi memberi laluan kepada calon untuk mengisi kekosongan disifatkan sebagai salah satu bentuk demokrasi matang.
Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, persefahaman yang baik mampu memberi kebaikan kepada semua pihak.
“Apabila tidak ada pertandingan, tidak bererti tidak demokrasi.
“Malah ia juga sebagai satu bentuk demokrasi apabila pemimpinmelakukansesuatu mengikut keperluan supaya tidak ada pertandingan demi kebaikan parti,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Pertandingan Menembak Piala Ketua Menteri Sarawak 2018 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuching di sini, pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata pemilihan jawatan tertinggi yang tiada pertandingan kadangkadang dilakukan menerusi perundingan terlebih dahulu.
Perpaduan yang utuh dalam kalangan ahli PBB katanya, membuktikan kejayaan parti itu terus bertahan dan beroperasi dengan lancar.
“Jika parti retak, ia memakan masa yang agak panjang untuk memperbaikinya,” jelasnya.
Ahli Majlis Tertinggi PBB itu berkata, Sarawak jelas memperlihatkan situasi berbeza jika dibandingkan dengan tempat lain dari aspek pertandingan pemilihan calon dalam parti.
Menjelaskan perkara itu, Abdul Karim berkata ahli keluarga PBB mementingkan perpaduan dalam parti demi perjalanan dan kestabilan politik Sarawak.
Ditanya tentang caloncalon yang bertanding untuk jawatan Naib Presiden pada Perhimpunan Agung PBB Ke-14 nanti, beliau yakin sesiapa sahaja calon yang dipilih mampu melakukan yang terbaik dan memberi sepenuh komitmen untuk parti dan negeri.