Air empangan China tenggelami kampung Kemboja
PHNOM PENH: Air banjir yang dikeluarkan empangan hidroelektrik China yang baru dibuka di Kemboja menenggelamkan sepenuhnya sebuah kampung, menurut kumpulan kempen International Rivers pada Jumaat lepas.
Ratusan keluarga dari lima kampung di wilayah utara Stung Treng berpindah beberapa bulan lepas ke kawasan penempatan semula projek yang disediakan, sebelum air dari empangan menenggelami kawasan itu, menurut kumpulan itu.
Di kampung Srekor, bahagian kawasan yang ditenggelami, 10 keluarga ditempatkan semula di sebuah kampung baharu sementara 63 lagi masih kekal, berpindah ke hutan di kawasan lebih tinggi dari mana mereka melihat air naik mendadak sejak Disember hingga mencecah bumbung rumah.
“Komuniti Srekor telah menjadi sebuah dunia air yang sunyi,” menurut International Rivers, sambil menambah bahawa ladang, kuil, kubur nenek moyang dan kawasan penangkapan ikan di kampung itu telah musnah.
Empangan Hilir Sesan 2, yang menjana 400 megawatt tenaga dalam usahasama di antara Hydrolancang International Energy Company di China dan Royal Group di Kemboja, akhirnya mula beroperasi pada November.
Setinggi 75 meter dan sepanjang lapang kilometer, empangan itu mengambil masa beberapa tahun untuk dibina.
Sebahagian impian kuasa hidro China di wilayah Mekong, ia menyasar untuk menghasilkan tenaga elektrik untuk Kemboja.
Beberapa wakil konsortium bersama tidak dapat dihubungi pada Jumaat lepas untuk mendapatkan komen.
Kumpulan hak asasi alam sekitar sudah beberapa kali memberi amaran projek itu akan mempunyai kesan besar ke atas perikanan dan biodiversiti di Sungai Mekong.
Perdana Menteri Hun Sen melabelkan mereka yang membangkitkan kebimbangan mengenai projek itu sebagai ‘radikal”, menyatakan Kemboja perlu memenuhi permintaan tenaga yang meningkat.
International Rivers menyatakan paras air meningkat sehingga tujuh meter sejak empangan itu mula beroperasi.
Penduduk kampung di Srekor menyatakan kemusnahan dibawa air yang dikeluarkan dari empangan.
“Tanaman seperti pokok kelapa, mangga, nangka dan nanas musnah kesemuanya,” penduduk kampung Sarun Sokhom, 61, memberitahu sambil menambah bahawa 54 rumah tenggelam.
Seorang lagi penduduk kampung, Sut Thoeun, 41, menyatakan air mula naik dengan cepat semasa musim hujan pada Disember.
Penduduk kedua-dua kampung menyatakan pihak berkuasa tidak memberikan bantuan kepada mereka yang memilih untuk tidak berpindah.
Jurucakap pihak berkuasa wilayah Stung Treng Men Kong menyatakan banjir dijangkakan dan penduduk kampung masih menemui pihak berkuasa mengenai penempatan semula dan pampasan. — Reuters