Tuah lonjakan emas
Amirul dinobatkan olahragawan Kejohanan Sukan Sekolah SMK Kota Marudu II
KOTA MARUDU: Rekod baharu Amirul Aliamat dalam acara lompat jauh dan lompat kijang melonjak kontinjennya, Rumah Biru menjadi juara keseluruhan Kejohanan Sukan Sekolah SMK Kota Marudu II sekali gus mengangkatnya menjadi olahragawan dan atlet terbaik pada Khamis lepas.
Amirul, 18, turut memperoleh emas dalam acara kegemarannya iaitu pecut 100 meter (m) dengan catatan masa 12.31s, 4 x 100m dan 4 x 400m.
Dengan keputusan itu, Rumah Biru mengumpul 20 pingat emas disusuli Rumah Ungu (12), Rumah Kuning (11), Rumah Merah dan Rumah Jingga masing-masing 9
Terdahulu, Annyes Alysha Molinus dari Rumah Merah dinobatkan sebagai olahragawati atas kejayaan mencatat rekod baharu dalam acara 5,000m jalan kaki dengan catatan 37:58s.
Sehingga penghujung kejohanan, Annyes mengumpulkan emas emas setelah memenangi lari berpagar 400m, lompat kijang, 4 x 100m dan 4 x 400m.
Olahragawati bawah 15 tahun dianugerahkan kepada Ellyana Liun juga dari Rumah Merah melalui acara lontar peluru dengan catatan lontaran 7.93m di samping meraih emas dalam acara rejam lembing dan lempar cakera.
Elbinazer Elday dari Rumah Kuning dinobatkan sebagai olahragawan lelaki bawah 15 tahun atas kejayaan memecahkan rekod lempar cakera dengan catatan lontaran 30.90m di samping meraih gangsa 4 x 100m.
Hadiah-hadiah disampaikan Penolong Pegawai Pendidikan Daerah, Abdul Rahim Tapa diiringi Pengetua Cemerlang, Hj Marmoh Hj Kasman.
Mengakhiri kejohanan ialah acara yang mendapat perhatian gemuruh iaitu 4 x 100m ibu bapa lelaki dan wanita yang disertai lima pasukan.
Kontinjen Pra-U meraih hadiah terbaik dalam perbarisan pasukan manakala Pengakap menerima hadiah dalam pasukan beruniform terbaik.
“Kita amat bangga dengan penglibatan para ibu bapa dan guru dalam acara tiga hari sukan dijalankan di mana sekolah ini turut menjadi venue kejohanan MSSD,” kata Marmoh.
Abdul Rahim menyeru pelajar agar meneruskan semangat dan momentum kesukanan dalam diri selain menerapkan displin kerana bagi menjadikan pelajar cerdas dan mampu bersaing dengan lebih cermelang di kejohanan peringkat tinggi.