Petronas jamin insiden kenderaan rosak selepas isi minyak tidak akan berulang
KUCHING: Petronas meyakinkan pengguna bahawa insiden yang menyebabkan kerosakan kenderaan selepas mengisi minyak RON95 di stesen minyak di Samarindah, Kota Samarahan tidak akan berulang.
Perkara tersebut dimaklumkan selepas satu siatasan dan ujian terperinci dijalankan mendapati satu sahaja tangki bagi produk RON95 telah dimasuki air dan tidak melibatkan produk lain di stesen yang sama.
“Ini adalah kes terpencil. Tindakan segera telah diambil bagi melindungi kepentingan para pelanggan.
“Sehubungan itu, penjualan produk RON95 akan dihentikan sementara waktu sehingga kerja-kerja baik pulih selesai,” kata kenyataan akhbar Petronas pada Ahad.
Pihaknya juga telah menghantar kenderaan para pelanggan yang terlibat ke bengkel berhampiran dengan membiayai kos penyelenggaraan dan pembayaran balik kos bahan api.
Petronas memohon maaf atas kesulitan tersebut serta menghargai maklum balas pihak pelanggan bagi memperbaiki mutu perkhidmatan di semua stesen minyaknya di sini.
Untuk sebarang aduan atau maklumat, hubungi ejen khidmat pelanggan di
talian hotline 1-300-888181 atau e-mel mesralink@ petronas.com.my.
Pada hari Sabtu lepas, beberapa kenderaan kelihatan berhampiran stesen itu menjadi viral di platform media sosial dengan paparan reaksi marah oleh pelanggan yang tidak berpuas hati.
Lantas, Pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak telah mengesahkan kejadian itu selepas memeriksa dengan salah seorang pegawai pemasaran Petronas berikutan penyiaran media sosial tersebut.