Utusan Borneo (Sabah)

52 penagih ditahan di ladang kelapa sawit

-

SUNGAI PETANI: Polis menahan seorang pengedar dadah bersama 51 yang lain dalam operasi bersepadu di sebuah ladang kelapa sawit menerusi ‘Ops Sarang’ di Bandar Baru, Sungai Lalang, Bedong di sini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Saifi Abdul Hamid berkata serbuan dari pukul 8 pagi hingga 4 petang itu melibatkan sembilan anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda bersama enam anggota daripada Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) yang mengepung ladang tersebut sebelum tangkapan dilakukan.

Sewaktu serbuan dijalankan, sebahagian penagih berumur antara 19 hingga 58 tahun sedang dalam keadaan khayal dan menjadikan kawasan ladang tersebut sebagai sarang untuk menagih dadah, katanya pada sidang media di sini pada Selasa.

Selain daripada penagih, pihaknya berjaya memberkas seorang lelaki berusia 23 tahun yang merupakan pengedar dadah di kawasan tersebut.

“Ketika tiba di kawasan ladang itu, ternampak seorang lelaki melarikan diri dan mencampakk­an beg kecil berwarna hitam di kawasan berkenaan, hasil kepantasan anggota kita akhirnya suspek berjaya ditahan.

“Pemeriksaa­n lanjut pada beg tersebut menemui beberapa bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin seberat 25 gram yang dipercayai untuk dijual kepada penagih sekitar kawasan itu,” katanya.

Berikutan itu, suspek yang bekerja sendiri ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.

Dalam operasi sama, dua lelaki berusia 40-an turut disiasat mengikut Seksyen 12(2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah heroin seberat 0.20 gram, syabu (0.42 gram) dan ganja (1.48 gram).

Selain itu, katanya, seramai 49 yang lain ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 (Rawatan& Pemulihan) selepas ujian air kencing mendapati positif dadah.

Turut dirampas ialah wang tunai berjumlah RM327 yang dipercayai hasil jualan dadah tersebut dan sebuah motosikal curi yang dilaporkan hilang di daerah ini.

Kata Saifi, ini kali kedua sarang dadah di dalam kelapa sawit itu digempur pihaknya dan serbuan pada 17 Jan lalu membawa kepada penahanan 14 orang penagih.

 ?? GambarBern­ama ?? SAIFI (tengah) menunjukka­n bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin pada sidang akhbar itu.
GambarBern­ama SAIFI (tengah) menunjukka­n bungkusan plastik lutsinar berisi dadah jenis heroin pada sidang akhbar itu.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia