Utusan Borneo (Sabah)

Bomba tidak tolak unsur khianat kenderaan JPJ terbakar

-

MANJUNG: Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak tidak menolak kemungkina­n tiga kenderaan Jabatan Pengangkut­an Jalan (JPJ) dan dua kereta awam yang musnah dalam kebakaran di tempat letak kereta Jambatan Timbang JPJ dekat Kuala Kangsar pada Selasa mempunyai unsur khianat.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Perak Mohamad Yunus Abu berkata pihaknya menemukan satu lubang di pagar berhampira­n kawasan tempat letak kenderaan itu yang dipercayai dipotong.

“Kemungkina­n (perbuatan khianat) itu ada tetapi bomba dan polis akan bekerjasam­a melakukan siasatan secara menyeluruh.

“Sekiranya wujud elemen perbuatan khianat, bomba akan serahkan kes itu kepada pihak polis untuk siasatan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis penyerahan pakaian operasi pasukan bomba sukarela Pasir Panjang Laut di sini, Selasa.

Mohamad Yunus berkata Unit Anjing Pengesan (K9) Bomba turut digunakan untuk menjalanka­n siasatan di lokasi kejadian.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.36 pagi Selasa, dua kenderaan JPJ jenis Toyota Fortuner dan satu lagi jenis Ford Ranger musnah 90 peratus manakala dua kereta jenis Volvo terbakar 70 peratus.

Dua jentera membabitka­n 12 anggota bomba dari Balai Bomba Kuala Kangsar mengambil masa 15 minit untuk mengawal kebakaran dan operasi tamat kira-kira 3.46 pagi, tiada mangsa terlibat dalam kejadian itu.

Sementara itu, Mohamad Yunus berkata Perak mempunyai 43 pasukan bomba sukarela yang ditubuhkan untuk membantu pasukan penyelamat itu memberi bantuan awal sekiranya berlaku bencana.

“Kita lihat orang ramai mula sedar pentingnya mengawal kebakaran lebih awal. Kita galakkan lebih ramai orang menyertai bomba sukarela bagi memudahkan pantauan dan kawal selia pihak bomba,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia