Pengguna internet perlu analisa dan menilai
SANDAKAN: Pengguna internet perlu bertanggungjawab melengkapkan diri dengan kebolehan mengakses, menganalisa dan menilai setiap kandungan yang dilayari atau diterima.
Ketua Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baru, Pematuhan dan Advokasi Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata menerusi kebolehan mengakses, menganalisa dan menilai, pengguna akan terdorong mempersoal kesahihan setiap maklumat, siapa penulisnya, apakah niat di sebaliknya dan seterusnya menjadi pengguna yang proaktif.
“Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Menerusi Pendidikan akan menjadi platform bagi pihak SKMM dan rakanrakan strategik meningkatkan kesedaran literasi media kerana ia adalah alternatif terbaik kepada sekatan kandungan oleh pihak kerajaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Eksplorasi Klik Dengan Bijak: Kesejahteraan Siber Melalui Pendidikan anjuran bersama SKMM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Kolej Unikop PDRM yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman di sebuah hotel terkemuka di sini pada Ahad.
Beliau menjelaskan menerusi program itu diharapkan pelajar dan ibu bapa akan memperlengkapkan diri dengan kemahiran kawal selia kendiri dan menjadi pengguna internet yang bertanggungjawab.
“Penyebaran pantas berita palsu dalam talian ini merupakan salah satu masalah kritikal global yang telah diperakui oleh World Economic Forum dalam satu kajian yang telah dijalankan pada tahun 2014.
“Pihak kerajaan turut memandang serius isu ini kerana penyebaran berita dan maklumat palsu mahupun fitnah termasuklah kebocoran maklumat rahsia kerajaan dilihat mampu mendatangkan kegusaran dan mengganggugugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di negara ini. ‘Berita palsu adalah musuh negara’,” katanya.
Fadhlullah berkata pihak SKMM menerusi tindakan penguatkuasaan yang diambil, sejumlah 76 kes berkaitan penyebaran berita dan maklumat palsu atas talian telah disiasat dan lima kes telah dihadapkan ke mahkamah pada tahun ini oleh pihak SKMM.
“Namun, tindakan penguatkuasaan sahaja tidak mencukupi dalam mengekang isu ini. Sekali lagi saya tekankan, kerjasama daripada pengguna amat penting dan merupakan faktor utama menangani isu ini,” katanya.
Selaras dengan usaha lain, pihak SKMM telah mewujudkan portal sebenarnya. my yang berperanan sebagai sebuah pusat sehenti bagi rakyat Malaysia menyemak maklumat mengenai berita tular yang tidak ditentusahkan, yang diterima secara atas talian.
Justeru, beliau mengajak semua pihak agar berganding bahu dalam memerangi berita palsu dan menjadi lebih bertanggunjawab di dalam talian.
Fadhlullah memberitahu ‘Bancian Pengguna Internet’ pada tahun 2016 yang dijalankan oleh pihak SKMM mendapati 89.4 peratus aktiviti dalam talian dilakukan menerusi telefon pintar oleh 24 juta pengguna yang direkodkan.
“Manakala pengguna yang berumur di bawah 18 tahun sebanyak 1.8 juta mewakili 5.8 peratus dari jumlah pengguna keseluruhan. Ia mewakili jumlah yang sangat ramai,” katanya.
Turut hadir, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, Pengerusi Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad Tan Sri Hussin Hj Ismail, Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Deputi Komisioner Dato’ Razarudin Husain, Setiausaha Polis Diraja Malaysia Dato’ Ramli Mohamed Yoosuf, Presiden Majlis Perbandaran Sandakan Datuk Ir James Wong, Pengerusi Kolej Unikop Dato’ Mohd Nazar Samad, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Unikop Merangkap Pengarah Program Memacu Kecemerlangan Pendidikan UNIKOP4SCHOOL Mohamad Islahudin Abdullah dan Ahli Dewan Undangan Negeri Sekong Datuk Samsudin Yahya.