Percikan api punca kebakaran di pejabat KWSP
PETALING JAYA: Kebakaran di pejabat Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di sini dipercayai berpunca daripada percikan api semasa kerja penyelenggaraan sedang dijalankan di tingkat satu bahagian luar bangunan berkenaan.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Bomba dan Penyelamat Datuk Soiman Jahid berkata bangunan berkenaan didapati menggunakan bahan pelapis iaitu ‘polyfoam’ yang mudah terbakar.
“Daripada kajian dan siasatan awal, dinding bangunan ini dipasang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak diluluskan oleh mana-mana pihak.
“Kebakaran bermula dari tingkat satu yang sedang dijalankan kerja penyelenggaraan. Ditambah pula keadaan angin serta cuaca panas yang turut menjadi pendorong kepada kejadian tersebut,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pada Selasa.
Beliau berkata kebakaran melibatkan bahagian luar bangunan serta sebahagiannya di dalam tingkat enam bangunan itu.
Bagaimanapun kata S o iman, seramai 527 orang pekerja yang berada di bangunan itu ketika kejadian telah dikeluarkan dan ditempatkan di kawasan lapang berdekatan.
“Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pukul 11.52 pagi dan tiba tujuh minit kemudian, operasi memadam kebakaran mengambil masa kira-kira 30 minit ,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata ini kali pertama kejadian kebakaran melibatkan ‘cladding’ (bahan pelapis) yang mudah terbakar berlaku di negara ini.
Katanya, mana-mana bangunan yang menggunakan bahan mudah terbakar dan tidak memenuhi spesifikasi ditetapkan telah melanggar Undang-undang Kecil Bangunan Seragam 1984.
“Secara tidak langsung, bangunan (KWSP) telah melanggar undang-undang ini,” katanya.