Kenduri 1Wilayah Persekutuan eratkan warga Labuan
LABUAN: Lebih 3,000 penduduk Labuan menghadiri Kenduri 1Wilayah Persekutuan anjuran Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) dan Perbadanan Labuan (PL) yang diadakan di Kompleks Sukan Laut Antarabangsa Labuan pada Sabtu.
Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor dan isteri Datin Seri Anggraini Sentiyaki serta pemimpin tempatan turut turun padang bersama komuniti Labuan di program itu.
Program itu mendapat kerjasama dan penyertaan yang tinggi daripada rakyat yang menjadi ‘signature’ program SHWP pada setiap tahun.
Sebanyak 35 program telah disusun sepanjang bulan SHWP yang merangkumi pelbagai lapisan masyarakat daripada golongan kanak-kanak, remaja, belia dan juga dewasa.
Ia termasuk program-program bersifat ilmiah bagi pengisian kerohanian dan juga program tanggungjawab sosial masyarakat.
Hari Wilayah Persekutuan masih mengekalkan tema ‘Wilayah Ceria, Rakyat Sejahtera’ pada sambutan kali ini kerana mesej di sebalik tema itu dilihat memberi impak yang positif kepada semua warga Wilayah Persekutuan daripada aspek meningkatkan kesejahteraan kehidupan rakyat.
Pelbagai inisiatif mensejahterakan rakyat WP Labuan telah dilaksanakan oleh kerajaan dalam membantu meningkatkan taraf hidup penduduknya.
Antara usaha yang sedang dilaksanakan adalah seperti Program Kad Ceria yang merupakan kad diskaun bagi pembelian barangan keperluan harian di kedai-kedai yang menjadi rakan dagang Kad Ceria.
Sehingga kini, di Labuan sahaja terdapat 200 premis yang menawarkan diskaun pembelian dari 5 hingga 70 peratus.
Selain itu, sebanyak 28,000 benih pokok kelapa pelbagai varieti seperti matag, pandan dan juga Malayan Red Dwarf (MRD) telah diagihkan kepada 27 kampung di WP Labuan melalui Program Labuan Go Green.
Inisiatif itu merupakan salah satu langkah awal kementerian untuk mengurangkan beban rakyat Labuan dari segi mendapatkan bahan komoditi hasil pertanian seperti kelapa parut dan santan kelapa yang dijual pada harga yang mahal.
Kementerian Wilayah Persekutuan juga sedang berunding dengan pihak Kementerian Pengangkutan bagi menambah operator penerbangan seperti Malindo Air untuk laluan pergi balik dari Kuala Lumpur ke Labuan.
“Dengan penambahan operator penerbangan ini dapat memberi pilihan tambahan kepada rakyat untuk meneruskan aktiviti perhubungan perniagaan, urusan kerajaan, pendidikan dan pelancongan di Labuan,” katanya.
Penganjuran Kenduri 1Wilayah Persekutuan bertujuan menyemai serta membudayakan semangat kerjasama, keharmonian dan integrasi kaum.
Di samping itu, program ini juga menjadi salah satu instrumen penting dalam memacu perpaduan dan kestabilan khususnya di Wilayah Persekutuan.