Kesedaran mengenai bahaya kanser
Usaha PSKS wajar disokong, kata Abidin
USAHA Persatuan Sukarelawan Kanser Sabah (PSKS) menganjurkan Program Kempen Kesedaran Penyakit Kanser wajar diberikan sokongan semua pihak termasuk para pemimpin, agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO).
Mantan Mayor Bandaraya Kota Kinabalu, Datuk Abidin Madingkir berkata inisiatif ahli PSKS menganjurkan program kesedaran mengenai bahaya penyakit kanser dalam kalangan masyarakat adalah sesuatu yang murni dan perlu diberikan sokongan berterusan memandangkan penyakit itu merupakan pembunuh nombor satu penduduk dunia hari ini.
Menurutnya, kesedaran terhadap bahaya penyakit kanser perlu diterap dalam masyarakat menerusi program-program yang dianjurkan PSKS selain melalui ceramah, pameran dan pemeriksaan awal kesihatan oleh Jabatan Kesihatan.
Beliau berkata, terdapat kira-kira 7.6 juta penduduk dunia mati setiap tahun disebabkan penyakit kanser, sementara 12.7 juta adalah berisiko penyakit kanser. Situasi itu amat membimbangkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Penyakit kanser boleh dicegah menerusi pemeriksaan awal kesihatan di samping membudayakan amalan gaya hidup sihat serta mengamalkan pemakanan yang sihat,” katanya ketika berucap melancarkan Program Kesedaran Penyakit Kanser 2018 anjuran PSKS Team Ranau.
Program yang mendapat kerjasama Persatuan Puspanita Cawangan Ranau serta serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Marakau di Dewan Bersatu Marakau Ranau itu dihadiri lebih 200 penduduk pelbagai lapisan masyarakat.
Abidin mengajak para pemimpin dan rakyat akar umbi supaya memberi kerjasama bersepadu kepada PSKS yang bertindak sebagai penyelamat nyawa pesakit kanser menerusi menyediakan dana bagi membantu membiayai kos perubatan para pesakit.
“Sumbangan kepada PSKS amat diperlukan untuk disalurkan kepada para pesakit sama ada dalam bentuk wang atau peralatan seperti kerusi roda,” katanya sambil menyatakan kebimbangannya terhadap peningkatan bilangan pesakit kanser di Daerah Ranau.
“Saya mewakili PSKS berterima kasih kepada Persatuan Hakka Ranau kerana banyak membantu PSKS Team Ranau menjayakan program dengan menghulurkan bantuan bagi meringankan beban para pesakit,” katanya sambil memuji komitmen PSKS Team Ranau melancarkan Kempen Kesedaran Penyakit Kanser setiap tahun, dengan menjadikan rakyat akar umbi sebagai sasaran utama.
Berucap sama ialah Presiden PSKS Negeri Sabah Lawrence Imui dan Naib Pengerusi JKKK Marakau Razipin Gutuk sementara seorang pengamal perubatan swasta Dr Rizin Kusop telah menyampaikan ceramah ‘Punca dan Risiko Penyakit Kanser’.
Turut hadir ialah Setiausaha Sulit Menteri Pembangunan Sumber dan Kemajuan Teknologi Maklumat Jaibie Dualis, Pengerusi Jawatankuasa Kemasyarakatan Dalam Bandar (JKDB) Pekan Ranau Tan Eng Sing, Pengerusi Puspanita Cawangan Ranau Hajah Mariah Tuah, Ketua Kampung Marakau Sumardi Sulaiman, Penyelaras PSKS Team Ranau merangkap Pengerusi Pelaksana Program Sepiah Kagal dan Datin Florence Malingkid (isteri Abidin).
Turut diadakan ialah saringan kasihatan ‘Pap Smear’ dan cabutan nama pengunjung bertuah.
Selepas majlis itu, Abidin dan Florence kemudiannya menziarahi sambil menghulurkan sumbangan peribadi kepada Pengerusi JKKK Simin Gambukas, 64, yang terlantar sakit di rumah di Kg Marakau.