Tolak pemimpin timbul isu perkauman
TENOM: Masyarakat di negara ini khususnya di daerah ini perlu menolak pemimpin yang menimbulkan isu perkauman demi menjaga keamanan dan kehormanian masyarakat yang dikecapi sejak dahulu.
Ahli Dewan Undangan Negeri Adun Kemabong yang juga Ketua Bahagian Umno Tenom Datuk Rubin Balang berkata, sebagai pemimpin harus bersikap adil dan saksama serta memastikan rakyat berada dalam kehidupan yang aman, damai dan harmoni.
“Dalam kita memimpin parti masing-masing, perlu berjuang dengan matlamat memastikan rakyat berada dalam keadaan dan suasana yang aman, damai, bersikap adil serta saksama kepada semua masyarakat.
“Justeru, kita perlu menolak sehabis-habisnya mana-mana pemimpin yang meniupkan sentimen perkauman. Tidak ada tempat di negeri atau di negara ini untuk manamana parti politik yang meniupkan isu perkauman ini,” katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan Majlis Penutupan Youth Carnival anjuran Wanita Umno Bahagian Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, di sini.
Sementara itu, Ketua Wanita Umno Tenom Datuk Rahmahjan Sulaiman Khan berkata, pembangkang pada masa kini amat terdesak untuk memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 sehingga sanggup menimbulkan isu perkauman dengan memutarbelitkan ucapan pemimpin kerajaan Barisan Nasional.
“Pembangkang pada masa ini rata-ratanya apabila mereka masuk kampung keluar kampung, mereka suka memainkan isu perkauman seperti yang berlaku baru-baru ini, di mana ucapan Datuk Seri Anifah Aman telah diputarbelitkan oleh pembangkang, berbeza dengan apa yang dimaksudkannya.
“Rakyat harus menolak sikap pembangkang ini kerana mereka bagaikan terdesak untuk memenangi PRU14. Kita sebagai rakyat Malaysia khususnya di Sabah sedar bertapa cetek dan mundurnya pemikiran mereka sehingga memutar-belitkan semua ucapan yang disampaikan oleh wakil rakyat Barisan Nasional,” katanya. -