Anugerah pembestarian sekolah
Mengiktiraf kecemerlangan sekolah, guru dan murid melalui aplikasi SSQS
MAJLIS Penyampaian Anugerah Pembestarian Sekolah Zon Tenggara telah berlangsung dengan jayanya di Dewan SJK(C) Pai Sheng Kunak.
Perasmian majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Datu Nasrun Haji Datu Mansur yang juga Ahli Parlimen Silam.
Majlis itu merupakan gabungan aktiviti tahunan Pusat Teknologi Pendidikan (BTP) dan Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bahagian Tawau dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tawau, Semporna, Kunak dan Lahad Datu.
Ia dilaksanakan secara bergilir-gilir sejak 2014 untuk memberi pengiktirafan kepada sekolah, guru dan murid yang telah memanfaatkan semua inisiatif Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berdasarkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) melalui aplikasi Smart School Qualification Standards (SSQS).
Lima domain utama SSQS ialah modal insan (pembangunan kompetensi ICT pentadbir, guru dan murid), penggunaan ICT (integrasi ICT dalam pengurusan serta pengajaran dan pembelajaran), aplikasi (sistem yang digunakan di sekolah), infrastruktur (teknologi sedia ada di sekolah) dan Pusat Sumber Sekolah (pengurusan sumber pendidikan) secara berterusan.
Sebanyak 28 anugerah pelbagai kategori disampaikan pada majlis itu yang turut dihadiri oleh Ketua Penolong Pengarah (KPP) Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BTPN) Sabah Suhailee Haji Ahmad, para Pegawai Pendidikan Daerah atau wakil (Kunak, Tawau, Semporna dan Lahad Datu) serta sebahagian pengetua dan guru besar di daerah berkenaan.
Turut hadir ialah pegawai BTP daerah Tawau Jumaiti Suparno dan Pegawai BTP/ PKG Lahad Datu Daman Jeju.
Anugerah Pembestarian Sekolah Zon Tenggara menyaksikan pemilihan Siti Aisyah Yusri Yadi dari Sekolah Kebangsaan (SK) Mostyn Kunak sebagai Tokoh Nilam Sekolah Rendah (Bahasa Melayu).
Tokoh Nilam Sekolah Menengah (Bahasa Melayu) dimenangi oleh Aiman Hidayat Muitaba dari SMK Kuhara Tawau.
Anugerah Tokoh Nilam Sekolah Rendah (Bahasa Inggeris) dimenangi oleh Sia Wen Tao dari SJK(C) Siew Ching Lahad Datu, manakala Tokoh Nilam Sekolah Menengah (Bahasa Inggeris) diobatkan kepada Rezki Ismail dari SM Sains Lahad Datu.
Penilaian Tokoh Nilam Zon Tenggara 2018 dihakimi Suziana dan Norhidayah Foong dari Jabatan Nazir Cawangan Tawau.
Sementara itu, antara penerima Anugerah Pembestarian Sekolah Zon Tenggara 2018 Sekolah-sekolah Daerah Kunak ialah SMK Kunak Jaya yang dipilih menerima anugerah Pengurusan FROG VLE Terbaik bagi kategori sekolah menengah dan SK Kampung Selamat bagi kategori sekolah rendah.
Anugerah Penggunaan FROG VLE bagi kategori guru sekolah menengah dimenangi oleh Jumatia Warisi dan Mohd Khazali Mohd Din bagi sekolah rendah.
Anugerah SSQS dimenangi oleh SJKC Pai Sheng dan SK Ladang Binuang, manakala anugerah Penggunaan FROG VLE bagi kategori pelajar sekolah menengah ialah Nur Hazirah Mantebang dan Norkeisah Suaib bagi kategori sekolah rendah.
Anugerah Pengurusan Pusat Akses terbaik dimenangi oleh SK Pangi, Anugerah Pengurusan dan Penggunaan Makmal Terbaik dimenangi oleh SMK Madai dan SK Kunak 2.
Penyampaian anugerah disempurnakan oleh Nasrun dan juga wakil PPD Kunak Mustari Mohamed Said.
Majlis Anugerah Pembestarian Sekolah 2018 bertujuan memberikan pengiktirafan atas kecemerlangan dan kejayaan sekolah dalam pelaksanaan aktiviti pembestarian sekolah.
Selain itu, ia juga bermatlamat memperluaskan penggunaan teknologi dan ICT dalam pengajaran dan pembelajaran (PdP) serta pengurusan di sekolah (Makmal Pengkomputeran, Pusat Akses, Frog VLE, SSQS, MBMMBI, EduWeb TV, eBahan) dan lain-lain inisiatif yang memberi impak kepada kemenjadian murid.
Program itu juga selaras dengan usaha merealisasikan konsep Pendidikan Abad Ke-21 (PAK-21) dan anjakan ketujuh dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 iaitu ‘Memanfaatkan ICT Bagi Meningkatkan Kualiti Pembelajaran Di Malaysia’.
Bagi Anugerah Pembestarian Sekolah Zon Tenggara 2018 bagi sekolah-sekolah daerah Kunak, johan bagi kategori Sekolah Rendah Luar Bandar (Bahasa Melayu) ialah Siti Aisyah Yusri Yadi dari SK Mostyn.
Kategori Sekolah Rendah Pedalaman (Bahasa Melayu) dimenangi oleh Mohd Nursyahfie Selamat dari SK Ladang Binuang, manakala kategori Sekolah Menengah Luar Bandar (Bahasa Melayu) dimenangi oleh Ahmad Wafi Yunus dari SMK Kunak.
Naib johan kategori Sekolah Rendah Luar Bandar (Bahasa Inggeris) dimenangi oleh Nur Shazwana Erna Herman dari SK Kunak 2. Tempat ketiga kategori Sekolah Rendah Pedalaman (Bahasa Melayu) pula dimenangi oleh Welma Abdul Satar dari SK Gading-Gading, Kunak.
Berucap pada majlis itu, Nasrun berkata program berkenaan merupakan usaha pihak KPM untuk membina tabiat membaca dan budaya ilmu yang berterusan sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia.
Katanya, penghargaan dan anugerah ICT yang diberikan akan menjadi pemangkin kepada pihak sekolah untuk terus mencapai dan mengekalkan tahap cemerlang ke arah memperluaskan penggunaan ICT.
Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada semua ahli jawatankuasa (AJK) penganjur dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program itu.
Sementara itu, Mustari dalam ucapannya berkata program itu merupakan inisiatif dan menjadi agenda tahunan di semua daerah mahupun di peringkat Jabatan Pendidikan Negeri Sabah (JPNS).
Jelasnya, ia bertujuan memberi pengiktirafan kepada usaha gigih muridmurid yang telah mengambil bahagian dalam aktiviti pembacaan atau program galakan tabiat membaca (GTM) di sekolah, di samping mencari calon terbaik yang layak untuk diketengahkan ke peringkat negeri.
Katanya, penilaian Anugerah Pusat Sumber Sekolah (PSS) juga diadakan sebagai usaha mempertingkat dan menaik taraf PSS dari aspek kemudahan, fizikal, peralatan, bahan dan penggunaan dalam pengajaran dan pembelajaran abad ke-21 serta PSS yang cemerlang diberi pengiktirafan yang sewajarnya.
Beliau yang mewakili PPD Kunak (Haji Raduan Haji Abdul Rahman) mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima Anugerah ICT, Tokoh Nilam dan Pusat Sumber sekolah seterusnya dapat meningkatkan usaha sehingga dapat mengharumkan nama Zon Tenggara di peringkat negeri seterusnya di peringkat kebangsaan.
Secara keseluruhannya, impak program itu dilihat dapat memantapkan serta meningkatkan keberkesanan pelaksanaan pengurusan sistem pendidikan negara, sekali gus melahirkan serta menyediakan generasi muda dan warganegara Malaysia dengan kemahiran abad ke-21 supaya mereka dapat bersaing dalam dunia tanpa sempadan.
Selain itu, ia dapat mempertingkatkan usaha bagi menaik taraf PSS dari segi kemudahan fizikal, alatan, bahan serta penggunaan Pusat Sumber dalam PdP.
Program tahunan itu juga dapat memperkasakan pelaksanaan Program Nilam dengan peluasan penglibatan di dalam dan luar persekitaran sekolah.
Ia sekali gus melahirkan dan mengenalpasti tokoh murid yang berketrampilan dalam bidang pembacaan dan mempunyai sifat kepimpinan serta merapatkan jurang perbezaan antara bandar dan luar bandar serta berdaya saing melalui prasarana berasaskan teknologi dan ICT.