Mohon tapak bina Masjid Cina
Rayuan MACMA kepada kerajaan negeri
KOTA KINABALU: Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA) cawangan Sabah berharap kerajaan negeri segera mempertimbangkan pemohonan tapak bersesuaian bagi pembinaan Masjid Cina Kota Kinabalu di sekitar bandaraya ini.
Pengerusinya Ritchie Jay Cheng berkata rancangan untuk membina masjid berkonsepkan rekabentuk dari China itu sudah lama dan kini hanya menunggu kelulusan kerajaan untuk menetapkan tapak berkeluasan 4.5 ekar mengikut kertas kerja projek sedia ada.
“Kos bagi membina masjid Cina ini dianggarkan berjumlah RM50 juta yang sememangnya sudah sedia hasil daripada kutipan ahli persatuan termasuk pelbagai pihak.
“Jadi tahun ini kami berharap kerajaan negeri akan membantu MACMA mencari tapak yang bersesuaian untuk kami laksanakan fasa seterusnya,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina MACMA dengan kerjasama Pertubuhan Ikram dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) cawangan Sabah, di sini pada Ahad.
Selain itu, Ritchie berkata perancangan membina masjid Cina itu juga mendapat sokongan daripada Ketua Menteri dan Yang Dipertua Negeri, dan sekiranya siap dibina, ia boleh menampung sehingga 2,500 jemaah.
Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Seri Panglima Masidi Manjun turut menyokong cadangan berkenaan dan akan mengutarakan pemohonan MACMA mendapatkan tapak pembinaan kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat ini.
Katanya, rancangan itu bukan bertujuan mengasingkan masyarakat Tiong Hua menjalani ibadat, tetapi sebagai simbolik bahawa Sabah juga memiliki penduduk Cina yang ramai seperti kaum lain.
“Sudah semestinya, masjid ini akan dibuka kepada semua masyarakat tidak kira dari apa suku kaum untuk mengerjakan ibadat bersamasama.
“Malah, ia juga akan menjadi satu tarikan pelancong khususnya dari
“
China yang mana mereka akan mengetahui bahawa Malaysia khususnya di Sabah sememangnya cukup harmoni dari segi hubungan kaum,” katanya.
Mengenai sambutan Tahun Baharu yang masuk tahun ketiga penganjuran oleh MACMA itu, Masidi berkata keharmonian jelas terbukti dengan kehadiran pelbagai kaum dan agama pada majlis berkenaan.
Katanya, agama Islam sendiri tidak pernah menghalang sesiapa sahaja yang ingin mengamalkan budaya kaum masing- masing asalkan tidak bercanggah dengan ajaran agama yang sudah ditetapkan.
Hadir sama pada majlis ialah Pengarah Yadim Sabah Samin Ongki dan Presiden MACMA Malaysia Profesor Dr Taufiq Yap Yun Hin.
Kos bagi membina masjid Cina ini dianggarkan berjumlah RM50 juta yang sememangnya sudah sedia hasil daripada kutipan ahli persatuan termasuk pelbagai pihak.
RITCHIE JAY CHENG Pengerusi MACMA