Pemuda didakwa bunuh seorang lelaki
KOTA KINABALU: Seorang pemuda didakwa di Mahkamah Majistret di sini, atas kesalahan membunuh seorang lelaki.
Muhamad Arddin Sumang, 29, didakwa membunuh Abd Razi Mahadum, 55, pada 20 Februari jam 6.20 petang, di depan kedai runcit Hatta, Kampung Sembulan Lama, di sini.
Atas kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang tidak diwakili peguam.
Majistret Afiq Agoes menetapkan pada 9 April untuk sebutan semula kes terhadap Muhamad Arddin.
Dalam pada itu, tertuduh diperintahkan terus direman mengikut Seksyen 259 Kaedah Tatacara Jenayah.
Sementara itu, seorang wanita dikenakan denda RM1,800 atau penjara tiga bulan, selepas mengaku bersalah memiliki empat helai kertas 4D haram.
Wainie Joseph, 21, disabitkan mengikut Seksyen 9 (1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, memperuntuk hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara selama tempoh enam bulan.
Turut didapati berada dalam milikannya wang sebanyak RM531, pada pada 7 Jun tahun lalu jam 2 petang, di sebuah premis tidak bernombor, Putatan.
Semasa rayuan, Wainie yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya dikurangkan kerana bakal melangsungkan perkahwinannya pada minggu depan.
Pegawai Pendakwa Insp Mohd Rasydan Jasni meminta hukuman setimpal dikenakan.